Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai selepas membuat satu perkongsian mengenai kaedah memastikan sotong tidak mengecut di akaun Facebook miliknya.
Tampil berkongsi ilmu, wanita dikenali sebagai Noris Nora itu memaklumkan bahawa kaedah berkenaan dipelajarinya ketika menonton sebuah dokumentari di televisyen.
Difahamkan, dokumentari ditonton Nora itu memaparkan kaedah penyediaan sotong segar daripada para nelayan berpengalaman yang berasal daripada Korea Selatan.
Selepas mengikuti kaedah nelayan tersebut membersihkan sotong, Nora mendapati hidupan laut itu tidak mengecut mahupun berair malah menjadi pejal ketika dimasak.
“Sekadar perkongsian, inilah cara saya mencuci sotong. Dahulu, saya pernah tengok dokumentari membabitkan daripada nelayan Korea Selatan. Mereka mencuci sotong kurita dengan cara sebegini.
“Saya cuba jugalah. Hasilnya memang sotong jadi pejal dan tidak berair apabila kita masak. Tak perlu lagi rebus sebelum nak masak. Mungkin sahabat-sahabat boleh cuba untuk memudahkan kalian memasak sotong,” katanya.
Berikut cara Noris Nora mencuci sotong berdasarkan hantarannya yang dimuat naik menerusi akaun miliknya di laman kumpulan Facebook, Masak Apa Hari Ni (MAHN).
Bahan-bahan mencuci sotong;
- Garam kasar
Langkah-langkah mencuci sotong agar tidak mengecut;
1. Langkah pertama, potongkan sotong pilihan anda kepada saiz yang dikehendaki.
2. Kemudian masukkan hidupan laut tersebut ke dalam satu bekas kosong sebelum ditambahkan dengan taburan garam kasar.
3. Selepas itu, bolehlah mula menggaul dan ramas sotong tersebut bersama garam kasar dengan tujuan untuk mencucinya.
4. Ramas di dalam tempoh lima minit hinggalah keluar buih seperti sabun manakala isinya pula terasa seperti sudah pejal.
5. Setelah semua buih keluar, basuh bersih hidupan laut tersebut supaya tidak terasa masin ketika dimasak.
6. Kemudian tos sotong sehingga kering. Sudah sedia untuk dimasak! Dijamin tidak mengeluarkan banyak air, mengecut malah kekal pejal walaupun selepas ia dimasak.
Baca juga: Rupanya boleh hilangkan bau tong sampah juga! Ini antara fungsi tepung jagung selain untuk masakan