Seorang ibu sanggup mengeluarkan belanja mencecah RM150 hanya untuk membeli air minuman dan bar coklat keluaran luar negara yang diinginkan oleh anaknya.
Difahamkan, wanita terbabit terpaksa ‘pusing’ satu Kuala Lumpur untuk mencari air dan bar coklat itu berikutan produk berkenaan tidak keluarkan di pasaran tempatan.
Menerusi rakaman yang beredar di media sosial, terlihat sang ibu dan anak-anaknya sedang berada di hadapan sebuah mesin layan diri untuk membeli produk tersebut.
“Anak saya nak air ini, pusing satu Kuala Lumpur jumpa dekat sini. Kamu semua tahu tak harga sebotol air berapa? Satu botol ini RM89! Nasib baiklah dia beri promosi beli satu percuma satu.
“Budak-budak zaman sekarang. Selepas itu, bar coklat ini pula harganya RM55. Ya Tuhan, aku tak fahamlah. Kopak mak kamu orang nanti. Siap berjanji nak jadi jurutera satu hari nanti. Kalau tak jadi siap, aku ungkit nanti,” katanya.
Perkongsian yang dimuat naik semula di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) itu berjaya mencuri perhatian ramai pengguna hingga meraih hampir 1 juta tontonan.
Rata-rata pengguna merasa terkejut apabila mengetahui kos bagi mendapatkan air dan coklat tersebut di Malaysia berikutan ia dijual dengan harga murah di luar negara.
Menyifatkannya sebagai perbuatan yang membazir, ramai juga pengguna menyelar tindakan ibu berkenaan melayan karenah anaknya tanpa memberi sebarang teguran.
“Tiada yang istimewa, janganlah beli dengan harga mengarut. Kalau beli dekat luar negara, satu botol baru £2 (sekitar RM12). Rasa macam air manis biasa sahaja,” kata seorang pengguna.
“Samalah dengan coklat Dubai hari itu. Bukan main mahalnya tetapi rasanya macam Cadbury juga. Ibu bapa pun tak boleh ke kawal anak sedikit.” Kesal pengguna lain.
Sekadar info, kedua-dua produk tersebut berfungsi untuk memberi tenaga tambahan terutamanya kepada mereka yang bergiat aktif bersukan atau bersenam malah tidak begitu sesuai bagi kanak-kanak.
Walau bagaimanapun, produk berkenaan mula menjadi ‘trend’ lebih-lebih lagi di kalangan remaja yang mudah terpengaruh kerana ia dipromosikan oleh beberapa Youtuber terkenal dari Amerika Syarikat (AS).
Baca juga: “Mak mentua cuba tutup aib sebab aku anak tak sah taraf, dia cakap dekat saudara aku ni anak angkat”