Nak perangkap monyet tapi 2 kanak-kanak jadi mangsa, kritikal lepas makan jajan beracun

Oleh MALAYSIADATELINE

Dua kanak-kanak lelaki berusia dua dan tiga tahun kini berada dalam keadaan yang kritikal selepas makan jajan atau keropok segera beracun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah.

Kejadian mencemaskan itu berlaku semalam (Ahad) berhampiran dengan kediaman kedua kanak-kanak berkenaan yang merupakan adik-beradik di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar.

Menurut hasil siasatan, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi selaku Ketua Polis Daerah Kulim berkata, dua beradik itu dipercayai mengambil paket keropok segera beracun yang tergantung di dawai besi pagar.

Rupa-rupanya, bungkusan makanan ringan yang tergantung di dawai besi pagar di sebuah kebun dipercayai milik penduduk berhampiran itu mengandungi racun tikus bertujuan untuk memerangkap monyet.

Jelas Mohd Azizul, insiden mencemaskan itu disedari oleh ibu kedua mangsa yang  berusia 25 tahun pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut, lapor Harian Metro.

“Kedua-dua mangsa dipercayai membuka (bungkusan) dan makan makanan ringan itu. Tidak lama kemudian, ibu mangsa mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih pada jam 11 pagi,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Mohd Azizul memaklumkan hasil pemeriksaan pegawai perubatan HK mendapati kedua-dua beradik itu berada di dalam keadaan yang kritikal.

Mereka berdua kemudian dipindahkan ke Hospital Besar Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala suspek pula sedang dikesan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan. Pihak polis sedang mengesan suspek yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan.” Ujarnya.

Baca juga: Suami jumpa mak mentua, nekad pulangkan balik isteri kerana tak pandai masak dan kuat ‘shopping online’