Kesetiaan seorang suami terhadap isteri kesayangannya mula teruji selepas 10 tahun mereka melayari bahtera rumah tangga bersama dengan penuh kebahagiaan.
Segalanya berpunca daripada kehadiran seorang pekerja wanita baharu di pejabat lelaki berkenaan yang mampu menggoyahkan perasaan orang dengan kecantikannya.
Berikut perkongsian seorang suami yang masih mencuba untuk menyelamatkan perkahwinannya agar anak-anak dapat membesar di dalam keluarga lengkap dan bahagia.
“Assalamualaikum semua. Aku lelaki yang berusia lewat 30-an (bukan usia sebenar). Sudah berkahwin selama 10 tahun dan mempunyai dua orang anak. Aku cuma mahu meluahkan cerita yang terbuku di hati berkenaan ujian kesetiaan yang sedang diri ini hadapi. Sekadar makluman, aku hanya pernah ‘bercinta’ dengan isteri sahaja.
“Sebelum itu pernahlah suka dekat perempuan lain tetapi aku cuma pendam sahaja. Sebab fikir tak mampu nak halalkan anak orang lagi. Aku juga tak gemar sangat nak bercinta, sibuk dengan aktiviti sendiri. Tengok pula kawan lain serabut kepala ketika bercinta, jadi aku pendam sahajalah perasaan kalau tersuka kepada seseorang.
“Pernah juga pendam perasaan dekat seorang gadis lebih kurang 10 tahun macam itu. Akhirnya dia kahwin dengan orang lain. Jadi aku terus lupakan dia begitu sahaja. Berterusanlah aku macam itu kalau tersuka orang. Sampailah satu masa, aku rasa sudah bersedia dari segi kewangan dan agama untuk menjadi suami.
“Aku ditakdirkan Allah SWT untuk berjumpa dengan isteri selepas beberapa bulan berdoa. Berkahwinlah kami selama 10 tahun dan aku memang sayang serta hormat kepada isteri. Tak pernah terlintas nak curang. Ceritanya bermula di sini. Dua tahun lepas, ada seorang pekerja baharu mula bekerja satu pejabat dengan aku.
“Nama gadis itu Ly, berumur awal 30-an (bukan nama dan umur sebenar). Dia masih bujang dan kelihatan sempurna. Mula-mula tengok dia, aku sudah rasa lain macam. Ly memang cantik dan baik sangat-sangat. Jadi aku mengambil pendekatan untuk mengelak daripada dia sebaik mungkin untuk menjaga hati ini.
“Tetapi kadang-kadang ada juga urusan yang tak dapat nak dielakkan. Terpaksalah aku hadap juga. Dipendekkan cerita, rupanya Ly juga suka dekat aku. Masa itu, aku pendam sahajalah rasa ini. Setakat 10 tahun aku boleh pendam, inikan baru setahun lebih. Tetapi lama-kelamaan, semakin kuat perasaan ini apabila aku mengelak.
“Pernahlah aku berikan ‘hint’ kepada isteri nak kahwin satu lagi. Tetapi dia memang tak benarkan. Siap cakap nak bercerailah kalau aku kahwin lain. Untuk pengetahuan, aku memang sangat mampu nak berkahwin satu lagi dari segi kewangan. Sampai satu tahap, aku bangun setiap malam tanpa gagal untuk solat sunat tahajud.
“Berbulan-bulan aku bertahajud, meminta supaya Allah lupakanlah perasaan kepada si Ly ini. Aku masih sayangkan rumah tangga. Aku tak naklah anak-anak hidup tanpa bapak. Selepas beberapa seketika aku bertahajud, mengelak dan memendam rasa, akhirnya terdengar rakan sekerja bercerita satu hari itu yang Ly sudah bertunang.
“Katanya, Ly mahu berkahwin tak lama lagi. Masa itu memang aku rasa lega, tetapi sedih jugalah. Akhirnya aku boleh lupakan dia terus. Namun beberapa bulan selepas itu, aku terdengar yang dia tak jadi kahwin. Aduh, memang barai. Semoga aku tabah menghadapi ujianMu ini.” Kongsi lelaki tersebut dalam sebuah forum atas talian.