Mukbang sebenarnya satu trend dimulakan di Korea Selatan pada tahun 2009 dan perkataan itu adalah kombinasi dua perkataan Korea iaitu mukja (makan) dan bangsong (siar).
Mereka akan menikmati makanan dengan jumlah yang besar dan perkara itu menjadi ikutan masyarakat luar, termasuk juga di Malaysia. Tetapi ia amat berbahaya untuk dipraktis dalam kehidupan seharian.
Seperti yang terjadi di Filipina, seorang pencipta kandungan dilaporkan meninggal dunia setelah melakukan mukbang, melahap ayam goreng bersama nasi.
Lapor media negara itu, Dongz Apatan, atau nama sebenarnya Manoy Apatan yang berusia 38 tahun itu disahkan meninggal dunia akibat serangan strok.
Menurut pakar yang merawatnya di bilik kecemasan, dia mengalami pembekuan darah di otak, menyebabkan tekanan darah meningkat dan saluran darah di otak pecah.
“Ia berpunca daripada makanan kandungan tinggi garam dan pengambilan daging. Jika melakukannya setiap hari, saluran darah di dalam otak akan tersumbat,” kata pakar jantung, Tony Leachon
Kali terakhir blogger itu memuat naik kandungan adalah pada 13 Jun lalu, memaparkan dirinya menikmati sejumlah besar ayam goreng yang dimakan bersama nasi.
Manoy Apatan mempunyai lebih 457,000 pengikut di laman Facebook dan aktif berkongsi videonya menikmati hidangan bersaiz besar.
Menurut adik perempuannya, Leah Apatan, dia mengalami serangan jantung kira-kira pukul 3 petang (waktu tempatan) sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan.
“Terdapat banyak komen yang mengatakan Manoy layak mati kerana tamak, tetapi itu hanya sekadar kandungan.
“Dia sebenarnya tidak makan banyak dan dia juga tidak menghabiskan makanannya. Manoy tidak tamak, malah sering membantu orang lain,” kata Leah.
Baca juga: Risau hanyir dan mudah pecah? Ini petua nak masak telur ikan, ‘confirm’ menjadi