Seorang wanita terpaksa melupakan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga kerana perlu menanggung keluarga kakak kesayangannya di usia yang muda.
Tidaklah keberatan untuk membantu kakaknya, wanita dikenali sebagai Nana itu bagaimanapun tidak rela wang miliknya digunakan untuk menanggung ‘biawak hidup’.
Biawak hidup dimaksudkan oleh Nana ini adalah abang iparnya yang enggan bekerja walaupun umurnya masih muda malah langsung tidak menjaga anaknya di rumah.
Berikut adalah perkongsian Nana yang semakin muak dengan perangai abang iparnya itu namun masih tidak dapat mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya.
“Assalamualaikum, nama saya Nana. Saya baru sahaja mula bekerja selepas habis belajar. Biasalah, gaji ‘fresh graduate’ biasa sahaja. Kadang-kadang rasa seperti tak dibayar dengan selayaknya. Tetapi masalahnya sekarang, saya perlu bantu keluarga orang lain iaitu kakak saya sendiri yang sudah berumah tangga.
“Kakak saya kena tanggung suami biawak hidup. Sebelum ini, kakak juga tak bekerja selepas beberapa tahun habis belajar. Ini barulah bekerja di dalam tempoh sebulan macam itu disebabkan terdesak. Mana tidaknya, sebelum ini setiap minggu meminta dari saya sebab dia tiada duit untuk jaga anak dan lain-lain komitmen.
“Suami kakak itu muda lagi. Cuma dia berhenti kerja selepas memulakan perniagaan. Tetapi perniagaan dia semakin teruk dan tiada keuntungan langsung. Memang tiada pendapatan sampai kena meminta dengan saya. Tak kisah nak tolong kakak, tetapi saya tengok abang ipar itu hanya duduk rumah. Tak buat apa langsung.
“Saya tinggal berdekatan dengan rumah kakak ipar. Jadi setiap minggulah singgah melawat. Tengok abang ipar hanya main telefon sahaja. Layan anak pun tak, kerja langsung tak cari. Jadi saya pula rasa geram dan tidak ikhlaslah tolong kakak sebab kena tanggung suami dia sekali. Padahal dia masih muda dan sihat lagi.
“Suami kakak pernah bekerja di sebuah syarikat besar. Apa pengalaman selama lima tahun. Tetapi selepas berhenti kerja, hampir tiga tahun jadi penganggur. Saya adalah suruh abang ipar cari kerja. Sebab tak susahlah nak dapat kerja dengan pengalaman dia dan umurnya yang masih muda dalam lingkungan 35 tahun macam itu.
“Tetapi saya ini adik ipar sahaja. Jadi susahlah kalau nak bersuara dengan dia. Saya kasihankan kakak, tetapi sakit hati juga sebab setiap minggu dia minta duit. Sampai saya nak kahwin pun tak boleh nak buat simpanan sendiri. Saya cubalah untuk tidak mendesak kakak. Tetapi apabila dia tunjuk baki akaun bank, saya pula emosi.
“Anak mereka pula ada masalah, jadi kenalah hantar ke sekolah istimewa. Yuran pula mahal sebab bukan sekolah kerajaan. Semua itu kakak saya seorang yang tanggung. Termasuklah perbelanjaan rumah, kereta dan semualah. Geram sebab anak macam itu perlukan perhatian tetapi bapaknya hanya main telefon sahaja.
“Abang ipar langsung tak melayan anak, semualah kakak saya yang buat. Cuba juga nak nasihat kakak tetapi tak sampai hati takut dia terasa. Saya tahu dia juga tengah bersusah payah sambil menahan sabar. Saya tahu, walaupun dia tak pernah cerita. Saya boleh nampak betapa penatnya kakak apabila berada di rumah itu.
“Bohonglah kalau abang ipar masih tak dapat tawaran kalau betullah dia minta kerja. Saya pernah cuba carikan pekerjaan untuk abang ipar. Tetapi kalau diri sendiri yang tak nak, saya juga tak boleh tolong. Tak tahu nak buat macam mana. Saya tak mahu mereka berpisah sebab kasihan dengan anak-anak buah itu.
“Ini sekadar luahan sebab saya tak tahu nak bercerita dengan siapa. Nak ceritakan masalah peribadi dengan kawan pula segan. Nak cakap dekat ibu bapa, takut pula mereka beri tekanan kepada kakak. Tetapi saya juga ada komitmen sendiri.” Kongsi Nana (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Ketepikan hasrat untuk buat IVF, Hazama mahu fokus hasilkan album kedua