Seorang pegawai perubatan berjaya mencuri perhatian ramai selepas berkongsi satu pengalaman ketika berhadapan dengan pesakit mabuk durian atau keracunan kecil.
Pakar perubatan swasta yang dikenali sebagai Dr Ahmad Samhan itu memaklumkan, kejadian berlaku selepas pesakit terbabit minum air kopi selepas menikmati durian.
Jelasnya, gabungan durian dan air kopi boleh menyebabkan tindak balas yang tidak baik kepada tubuh badan manusia termasuklah risiko mabuk serta keracunan ringan.
Hal ini berikutan raja buah berkenaan mempunyai kandungan sulfur dan karbohidrat tinggi manakala kopi pula mengandungi kafein yang boleh menyebabkan dehidrasi.
“Seorang lelaki berada di dalam keadaan mabuk, terhuyung-hayang masuk ke bilik konsultasi dengan wajahnya yang pucat dan keringat juga turun membasahi dahi.
“Pesakit rasa nak macam nak muntah, kepala pening sangat. Mulanya, dia makan durian selepas makan tengahari. Kemudian minum air kopi sebab rasa mengantuk. Terus rasa lain macam.
“Apa yang sedang berlaku pada badan pesakit ini dinamakan sebagai ‘intoxication‘ atau keracunan ringan. Gabungan durian dan air kopi boleh menyebabkan badan berasa tak selesa,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Dalam perkongsian yang sama, Dr Ahmad Samhan turut menyenaraikan beberapa gabungan makanan dan minuman lain perlu dijauhi untuk mengelakkan mabuk durian.
1. Kopi
2. Alkohol
3. Minuman berkarbonat
4. Makanan berminyak
5. Makanan pedas
6. Susu dan produk tenusu
7. Makanan tinggi protein
Makanan dan minuman yang telah tersenarai itu tidak boleh digabungkan bersama durian berikutan boleh memberi tekanan berlebihan kepada tubuh badan manusia.
Dr Ahmad Samhan juga menyarankan untuk menunggu selama empat hingga enam jam dahulu jika minuman dan makanan itu perlu dimakan selepas menikmati durian.
Pakar perubatan terbabit turut berkongsi rawatan yang boleh dilakukan orang ramai jika mereka mengalami mabuk durian selepas menikmati raja buah tersebut.
“Rehatkan badan, minum banyak air kosong untuk bantu singkirkan toksin di dalam badan atau makan makanan ringan yang mudah hadam. Jika keadaan tidak bertambah baik, pergi ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Untuk semua peminat durian, ingatlah untuk berhati-hati dengan apa yang anda gabungkan dengan durian. Durian memang nikmat, tetapi kalau salah makan, boleh mudarat.” Pesannya.