Seorang wanita berjaya mencuri perhatian ramai selepas membuat satu perkongsian mengenai rebusan kerang di laman kumpulan Facebook, Masak Apa Hari Ni (MAHN).
Hantaran yang dimuat naik oleh pemilik akaun CT Nazura itu adalah mengenai ‘tips’ bagi memastikan hidupan laut tersebut tidak mengecut dengan ketara selepas direbus.
Lain daripada yang lain, wanita terbabit meletakkan kerang di saat-saat akhir ketika proses merebus supaya isi hidupan laut tersebut menjadi gebu selepas ia dimasak.
“Tips. Banyaklah yang tanya macam mana saya rebus kerang tetapi isinya tak kecut. Insya-Allah, (kalau ikut) nanti dapat hasil macam ini. Kalau tak habis, kerang ini boleh buat sambal.
“Kopek dahulu isi, kemudian simpan di dalam peti ais. Keesokkan harinya, isi memang akan nampak gebu-gebu,” kata wanita berkenaan di dalam hantarannya itu.
Petua rebus kerang supaya isi tidak mengecut;
1. Langkah pertama, cuci hidupan laut tersebut sehingga bersih dan tapis semua air.
2. Kemudian masukkan hirisan bawang merah, halia dan serai yang telah diketuk ke dalam periuk.
3. Isikan periuk dengan air kosong kira-kira sehingga ke paras kerang itu tenggelam.
4. Selepas itu masak sehingga mendidih. Barulah masukkan garam, serbuk perasa dan kerang.
5. Biarkan mendidih sekali lagi, lalu kacaulah kerang tersebut supaya sebati dengan bahan-bahan di dalam periuk.
6. Api sudah boleh ditutup dan taburkan daun kunyit serta potongan cili api. Siap untuk dihidang!
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca.
Baca juga: Baru tahu 7 makanan & minuman ini boleh sebabkan ‘mabuk Durian’, mudarat jika ambil sekali!