Pernah membuat pinjaman secara lisan pada tahun 2022, pereka fesyen terkenal Datuk Jovian Mandagie disaman dua syarikat selepas gagal membuat pembayaran.
Bekas menantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar RM10 juta kepada dua syarikat.
Menurut Bernama, kes saman ini membabitkan pinjaman persahabatan yang dilakukan pada tahun 2022.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu pada 2 dan 4 April.
Ini adalah selepas membenarkan permohonan Bina Pragmatik Sdn Berhad dan Cekap Air Sdn Bhd untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian.
Penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi.
Tetuan Saiful, Roger & Co yang mewakili kedua-dua syarikat mengesahkan perkara itu. Bagaimanapun, Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lalu.
Beliau telah disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan.
Pernyataan tuntutan menyatakan Jovian adalah kenalan kepada Pengarah Cekap Air iaitu Yong Zhen Wei dan Pengarah Bina Pragmatik iaitu Azirul Salihin.
Cekap Air mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan ahli perniagaan itu pada 25 Februari 2022.
Malah memindahkan wang ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili pereka fesyen berkenaan.
Bina Pragmatik pula mendakwa ia telah meminjamkan RM5 juta kepada Jovian pada 25 Mac 2022 dengan memindahkan wang itu ke akaun pelanggan firma guaman yang sama.
Menurut kedua-dua syarikat, firma guaman itu mengesahkan penerimaan wang tersebut.
Kedua-dua plaintif berkata pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.
Mereka mendakwa pinjaman itu diberi dan dilakukan secara lisan serta kasual kerana plaintif dan defendan adalah kenalan.
Maka tidak ada sebab untuk meragui Jovian kerana beliau memiliki beberapa perniagaan lain.
Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman itu.
Sehingga kini, Jovian gagal membayar semula atau memulangkan kembali wang berkenaan menyebabkan mereka mengalami kerugian.
Baca juga: “Takde kahwin, jangan kacau saya” – Tengku Hassanal