Seorang wanita langsung tidak menyangka, suami yang disayanginya berubah sekelip mata selepas memiliki hobi baharu iaitu memancing.
Padahal sebelum ini, suami kepada wanita yang dikenali sebagai Ina itu lebih mengutamakan keluarga terutama pada waktu terluang dengan membawa mereka bercuti.
Berikut adalah perkongsian Ina yang sudah nekad mahu mencari kebahagiaan sendiri sekiranya sang suami masih berdegil tanpa memikirkan keadaan kewangan keluarga.
“Sudah masuk 10 tahun aku dan suami melayari bahtera rumah tangga. Semuanya nampak hampir sempurna. Bahagia dapat berkahwin dengan kawan baik. Masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Suami baik, rajin dan rapat dengan anak-anal. Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini, dia ada hobi baharu.
“Aku ingat lagi suami paling tak sukalah orang yang kaki pancing ini. Katanya, buang masa dan duit. Daripada bertafakur di kolam pancing, macam-macam perkara boleh dilakukan dalam tempoh panjang itu. Tetapi sekarang kata-kata dia sudah memakan diri sendiri. Dia berjinak dengan dunia memancing selepas rakan sekerja menghasut.
“Mula-mula aku dapat terima hobi baharu suami. Siap berikan sokongan lagi. Ikut dia memancing dekat lombong di kawasan rumah. Lama-lama pergi kolam pula. Sekali pancing di situ, boleh habis RM100. Belum lagi kos membeli joran dan mesin pancing. Benda-benda kecil seperti mata kail, tali tangsi semua itu memakan modal besar.
“Suami pernah habiskan wang sampai beribu ringgit. Setiap hujung minggu, dia akan pergi ke kolam untuk menghabiskan masa di sana. Bayangkan dalam masa sebulan, sampai empat ke lapan kali dia pergi memancing ikan. Hasil? Jangan cakaplah. Ada masa memang dapat. Tetapi kebanyakkannya tiada. Aku macam menyampah juga.
“Kalau ada duit tidak mengapalah. Ini gaji suami baru RM4,000. Aku pula hanya suri rumah sahaja. Perlu menghadaplah anak-anak yang tengah membesar. Paling kecil umur dua tahun. Komitmen bulanan sahaja lebih RM3,000. Itu tak termasuk makan dan barang dapur. Duit nafkah untuk aku tak pernah dia berikan dari awal kahwin.
“Suami hanya berikan seluruh gaji dia untuk aku uruskan. Selepas ditolak komitmen, hanya tinggal cukup-cukup makan sahaja. Tiada lebih. Untuk belikan alat solek atau pakaian dalam buat diri sendiri pun aku berkira-kira. Takut terusik duit untuk belanja sekolah anak dan kos makan keluarga. Dahulu dia rajin bawa kami berjalan-jalan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu. Kadang-kadang jika ada rezeki lebih, suami akan bawa kami sekeluarga bercuti. Gembira sangatlah sebab setiap hari aku hadap rutin yang sama ketika menjaga anak. Jadi kalau suami bercuti aku mahulah berjalan. Rasa otak macam sesak pula apabila asyik terperuk dekat dalam rumah.
“Tetapi sekarang, suami lebih memilih untuk memancing. Aku tertekanlah sebab duit tiada pun dia sibuk nak memancing. Kalau aku tak bagi, mulalah buat muka. Tak nak bertegur. Siap marah-marah anak dan hempaskan barang. Kadang-kadang dia akan pergi juga. Perasaan aku? Rasa nak patahkan joran pancing yang tersusun rapi itu.
“Aku punya berjimat cermat untuk menguruskan kewangan keluarga. Tetapi macam itu sahaja suami habiskan duit dekat kolam pancing. Kalau nak beli keperluan anak, aku terpaksa menabung senyap-senyap. Pernah beberapa kali aku cuba berbincang dengan dia. Akhirnya akan bergaduh juga. Menyesal aku sokong hobi dia dahulu.
“Tak sangka pula akan menjadi barah untuk kami sekeluarga. Aku tak gembira. Hari-hari aku murung memikirkan duit tak cukup nak beli barang keperluan dapur. Minggu lepas aku ajak suami beli barang dapur. Dia sudah tarik muka. Sebab sekali membeli, mesti habis sampai RM500 lebih. Mungkin semua ini membazir sahaja pada dia.
“Sedangkan memang tanggungjawabnya sebagai suami. Aku sekarang masih boleh menahan sabar. Tetapi memang akan meletup jugak nanti. Masa itu, aku akan minta cerai. Dalam kepala aku, itu sahaja yang terlintas. Aku juga tak tahu berapa lama lagi diri ini mampu bertahan. Aku minta yang membaca bantu mendoakan aku.
“Aku dapat rasakan perkara ini akan membuatkan rumah tangga kami hancur. Setiap hari aku berperang dengan perasaan. Aku bukan Ina yang ‘happy go lucky’ seperti dahulu lagi.” Kongsi Ina (bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Halau remaja usia 13 tahun dan biar tidur di koridor rumah, ibu bapa akhirnya ditahan polis