Rupanya ini cara berjimat kalau pakai penghawa dingin, bil turun mendadak lepas amalkan!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berjaya mencuri perhatian selepas memuat naik perkongsian tentang panduan menjimatkan tenaga elektrik untuk mereka yang memiliki penghawa dingin.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, pemuda itu mendakwa kadar bil elektrik kediamannya sememangnya tinggi berikutan mempunyai dua unit penyaman udara.

Namun kadar bil didapati menurun dengan mendadak selepas pemuda itu menukarkan tetapan (setting) di alat kawalan jauh ataupun remote peralatan elektrik tersebut.

“Bil bulanan aku pada mulanya RM96.95. Tetapi selepas menggunakan teknik ini, bil elektrik aku menurun kepada RM43.70. Hampir RM50 juga bezanya. Banyak jugalah.

“Untuk makluman, rumah aku ada dua penyaman udara. Satu di ruang tamu dan lagi satu di bilik tidur. Caranya mudah sahaja, anda hanya perlu ubah satu tetapan pada alat kawalan jauh,” katanya.

Jelasnya, penyaman udara perlu ditukarkan kepada ketetapan ‘dry mode’ ataupun mod kering supaya pemampatnya (compressor) tidak perlu bekerja dengan begitu keras.

Tetapan ini dapat menjimatkan elektrik berikutan penyaman udara akan memastikan suhu tidak akan berubah secara berlebihan seterusnya ‘merehatkan’ pemampatnya.

“Penghawa dingin selalunya ada dua tetapan. Satu mod sejuk, lagi satu mod kering. Biasanya dekat Malaysia pakai mod sejuk supaya ruangan bilik betul-betul dingin. Tetapi tetapan ini memakan banyak tenaga elektrik.

‘Sebab itu aku pilih untuk tukar kepada mod kering. Penyaman udara akan pastikan bilik cukup sekadar nyaman untuk kita dudukilah. Suhu tidak akan berubah secara berlebih-lebihan.

“Makanya pemampat tak perlu bekerja keras. Kelembapan dalam bilik akan disedut keluar supaya persekitaran tak terasa berkuap. Nak guna mod sejuk tiada masalah, tetapi suhu jangan rendah sangat. Nanti bil melambung.” Jelasnya.

Namun perlu diingatkan, suhu bilik anda mungkin tidak mencapai kadar yang anda inginkan jika tetapan ditukar kepada mod kering.

Baca juga: “Aku tak nafikan suami memang baik tapi 4 tahun kahwin ni aku yang tanggung semua, penat…”