Pihak berkuasa bongkar tempat tinggal PATI, hidup ‘selesa’ sewa apartmen lebih RM2,000 sebulan di KL

Oleh KIM SYAZIE

Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang datang ke negara ini secara haram didapati hidup selesa dengan mendiami beberapa apartmen di Brickfields, Kuala Lumpur – dengan bayaran sewanya mencecah RM2,000 sebulan.

Difahamkan, rata-rata warga asing itu bekerja di kawasan berhampiran sebagai tukang jahit, pekerja kedai makan serta tukang cuci.

Kehidupan selesa mereka terbongkar selepas diserbu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Lebih memeranjatkan bukan satu apartmen sahaja yang didiami golongan itu.

Tetapi menurut laporan Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit, beberapa unit apartmen 19 tingkat didapati dihuni warga asing terbabit.

Seramai 122 individu pelbagai warganegara telah diperiksa pihak berkuasa.

Seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Aley berkata, dia menetap di Malaysia sejak 14 tahun lalu di beberapa tempat.

“Di sini (apartmen) ini, saya duduk di unit empat bilik dengan beberapa warga asing lain.

“Setiap bulan saya akan kutip daripada (penghuni) setiap bilik dan bayaran bulanan RM2,500. Rumah ini milik orang tempatan,” katanya seperti dilapor portal tersebut.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi hasil risikan selama dua minggu itu berjaya menahan 40 PATI terdiri daripada 24 lelaki, 14 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan.

Baca juga: Rupanya ini cara berjimat kalau pakai penghawa dingin, bil turun mendadak lepas amalkan!