Isu bekas suami bermesra dengan isteri semasa idah, ini peringatan Ustaz Hadhari Ainun

Oleh MALAYSIADATELINE

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai pasangan bercerai yang tampil mesra ketika bekas isterinya berada dalam tempoh idah di platform media sosial.

Tindakan ini telah menimbulkan tanda tanya sama ada pasangan yang bercerai dikira kembali rujuk jika dilihat bermesra dan berpegangan tangan dalam tempoh idah.

Hal ini berikutan terdapat suami isteri yang telah berpisah menggunakan tempoh idah ini untuk bermuhasabah diri, kembali berbaik dan rujuk semula dengan pasangan mereka.

Menjawab persoalan, pengacara Tanyalah Ustaz, Tajdid Hadhari berkata bahawa pasangan suami isteri tidak dikira rujuk walau ada aksi berpegangan tangan dalam tempoh idah.

Jelasnya, kitab al-Majmu’ yang ditulis oleh Imam An-Nawawi menyatakan bahawa menyentuh isteri sahaja tidak dikira rujuk tetapi perlu juga melafazkan talak, lapor Gempak.

“Menurut mazhab Syafie, suami perlulah melafazkan rujuk dengan isterinya. Sebagai contoh, saya menerima kembali kamu sebagai isteri.

“Kemudian selepas lafaz rujuk disebut, mereka perlu ke pejabat agama di Malaysia untuk mendapatkan pengesahan,” kata personaliti radio Zayan itu memetik laporan Gempak.

Personaliti yang mesra disapa Ustaz Bola itu turut memberi peringatan supaya orang ramai tidak menjatuhkan hukum kepada pasangan bercerai meskipun mereka tampil mesra.

“Pertama saya nak nasihatkan kepada mereka yang menonton video tersebut, kita jangan pukul sama rata atau terus nak menghukum. Mereka mungkin telah rujuk. Namun, tidak dikongsi dengan khalayak.

“Sebab ia merupakan hal suami isteri. Kita tidak bolehlah terus menghukum haram. Barangkali mereka sudah rujuk tetapi belum memberitahu pejabat agama,” sarannya.

Dalam pada itu, Ustaz Hahadri turut menasihatkan pasangan suami isteri untuk tidak mempamerkan aksi romantik mereka di media sosial hingga menjadi tontonan umum.

“Apabila sudah rujuk semula, mereka macam pasangan suami isteri. Tidak salah nak sentuh, tiada masalah nak pegang. Cuma saya ingin mengingatkan kepada suami isteri yang ada laman media sosial.

“Kalau boleh, jangan cuba tunjukkan romantik di depan orang lain. Sebab di dalam hadis, Nabi Muhammad SAW ada menyebut bahawa iman mempunyai 70 cabang dan salah satunya adalah sifat malu.

“Hadis ini turut dikongsi oleh Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’. Jadi janganlah kita ini tiada rasa malu tunjuk pula romantik walaupun sudah rujuk, okey?.” Ulasnya lagi.

Baca juga: Tahun lepas beli G-Wagon RM1.3 juta, tahun ini Merqeen ‘angkat’ pula Mercedes Benz RM600k