Seorang wanita tidak pernah menyangka, rumah tangga yang dibina bersama suami selama 13 tahun boleh hancur sekelip mata kerana kehadiran orang ketiga.
Lebih memburukkan keadaan, suami kepada wanita itu tergamak mengaku di depan hakim Mahkamah Syariah bahawa kasih sayangnya terhadap isteri sudah lenyap.
Berikut perkongsian seorang wanita yang masih berjuang mencari kebahagiaannya sendiri dan berharap kisahnya dijadikan pengajaran terutamanya untuk gadis bujang.
“Selepas 13 tahun berkahwin, aku disahkan bercerai dengan bekas suami bulan lalu. Ceritanya bermula pada bulan Oktober 2023. Seorang penyondol menghubungi aku beritahu dia dan suami sudah berkahwin di Selatan Thailand sejak 2021. Tak berapa percaya sangat, tetapi aku ikutkan sahaja rentak mereka berdua.
“Kemudian pada Ramadan lalu, aku mengalami kemurungan. Tahun 2024 adalah kali pertama aku beraya tanpa suami. Daripada 1 hingga 7 Syawal, aku tak jumpa suami. ‘Madu’ pula seronok muat naik gambar beraya sakan dengan suami. Habis semua di akaun Facebook dan status Whatsapp milik suami, madu kongsi gambar itu.
“Rupa-rupanya mereka tak pernah berkahwin selama ini. Baru sahaja menikah pada bulan Februari lalu. Perkara ini kantoi di hadapan hakim Mahkamah Syariah. Takdir Allah, mak mentua meninggal dunia secara tiba-tiba. Waktu itulah kali pertama aku bersua muka dengan madu. Aku hulur tangan bersalam dan menegurnya sepatah dua.
“Ketika itu, aku belum tunjuk apa-apa emosi. Cuma ‘pasang’ wajah selamba sahaja. Suami buat keputusan untuk perempuan itu duduk di rumah mentua sampailah habis kenduri arwah selama tiga hari. Aku diam sahaja. Sepatah tak merungut walaupun rumah mentua itu telah aku duduki sejak kami berkahwin 13 tahun lepas.
“Masuk hari keempat, perempuan itu masih belum pulang ke rumah dia lagi. Jadi aku beritahu suami kalau perempuan itu tak nak balik, aku yang akan keluar dari rumah. Dia balik petang itu juga tetapi sempat muat naik hantaran di TikTok untuk mengutuk aku. Petang yang sama, suami beritahu aku rancangannya.
“Rupanya suami memang nak aku duduk serumah bersama bini muda dia, di rumah yang baru dia bina di belakang kediaman mentua. Rumah itu memanglah sudah siap, tunggu masa nak duduk sahaja. Tetapi aku tak tahulah apa ada dalam kepala otak suami ketika itu. Aku sendiri boleh nampak dia tak mampu nak sara dua isteri.
“Perkara yang suami katakan juga terlalu melampau dan memang sukarlah buat aku terima. Ketika itulah aku sedar bahawa hubungan kami sudah berakhir. Aku nampak jalan mana yang perlu diambil. Padahal dalam tempoh enam bulan mereka bersama, aku bersabar sahaja dengan apa yang telah suami dan madu lakukan.
“Daripada Oktober tahun lalu hingga Februari, mereka berlagak macam suami isteri walaupun belum berkahwin. Selepas menikah bulan Februari itu pula, madu sengaja mencuba untuk membangkitkan kemarahan aku. Sibuklah muat naik macam-macam gambar dan video dalam akaun TikTok dia itu. Aku terus beritahu suami nak bercerai.
“Keesokkan harinya, aku jumpa kawan yang merupakan peguam Syariah. Pada lusa pula terus pergi mahkamah untuk menghantar borang cerai. Dua minggu selepas itu, dapatlah tarikh pertama untuk prosiding penceraian kami. Bekas suami aku mengaku di depan hakim yang dia sebenarnya baru berkahwin dalam tempoh dua bulan.
“Bekas suami menikah tanpa kebenaran aku dengan borang poligami yang mungkin dia tandatangani sendiri. Meskipun selepas itu mahkamah panggil untuk hadir selaku isteri pertama, aku tak pergi. Sebab suami cakap dia hanya mahu kurangkan denda untuk mendaftar perkahwinannya. Hakikatnya, aku ditipu hidup-hidup.
“Semasa mengaku di depan hakim hari itu, bekas suami cakap dia tak nak ceraikan aku. Bukan sebab masih sayang, tetapi rasa malu kalau bercerai. Aku cuma diam tak berikan sebarang respon. Apabila abang aku bising persoalkan kenapa dia tak mahu bercerai, barulah bekas suami mengamuk cakap nak bercerai pada prosiding kedua.
“Ketika itu proses melibatkan jawatankuasa pendamai. Bekas suami bersetuju untuk bercerai dengan syarat aku tak tuntut apa-apa. Aku setuju asalkan dapat bercerai. Dalam tempoh menunggu tarikh, aku sabar sahajalah walaupun bekas suami marah-marah dan mengutuk keluargaku. Sebab aku khuatir urusan perceraian tak berjaya.
“Apabila aku ambil keputusan untuk bercerai, syukur Allah seakan kurniakan seribu kekuatan untuk mengharungi tempoh sukar ini. Aku sudah tiada rasa sedih, marah atau kecewa. Tak rasa apa-apa. Aku juga malas nak tuntut harta sepencarian. Isteri muda suami sudah teruja nak masuk rumah baharu. Tiada niatlah nak aniaya orang.
“Walaupun banyak hutang yang bekas suami aku belum bayar, aku tiada niatlah nak menuntut. Sebab bagi aku, berjaya keluar daripada perkahwinan ini juga bagai seribu rahmat buatku. Diamkan diri sahaja supaya bekas suami dapat ceraikan aku dengan elok-elok. Namun pada masa yang sama, aku juga bersedia jika perlu tuntut fasakh.
“Alhamdulillah, Allah mudahkan segalanya. Apabila hakim tanya kenapa nak bercerai, tak tergamaklah aku nak ceritakan 100 peratus semua perbuatan keji suami. Segala penghinaan, pengabaian dan penderaan emosi yang aku tanggung selama 13 tahun kami beekahwin. Aku dapat rasa Allah angkat segala kesakitan dialami selama ini.
“Dalam tempoh mengangkut barang untuk berpindah keluar, bekas suami layan aku macam pesalah besar. Dia anggap macam aku ini orang asing walaupun kami masih suami isteri. Mungkin pada dia, aku bersalah sebab berkeras nak bercerai. Sekarang sudah masuk sebulan lebih bercerai, aku anggap bekas suami tak pernah wujud.
“Aku teruskan hidup, berikan fokus kepada pekerjaan dan mak ayah. Perasaan sakit, sengsara dan segala yang aku alami dahulu juga sudah hilang. Hari terakhir pindah barang adalah kali terakhir aku menangis betul-betul. Sedihlah terpaksa tinggalkan rumah mentua yang selama ini telah aku duduki berbelas tahun.
“Walaupun rumah mertua jauh dari sempurna, aku sudah anggap macam kediaman sendiri. Malah lebih selesalah daripada rumah mak ayah sendiri. Sekelip mata, aku hilang suami dan rumah tangga kerana nafsu dua orang manusia. Bekas madu pula sampai sekaranglah berkongsi hantaran di TikTok mengenai aku.
“Aku dihinanya dengan status janda. Dia tak berpuas hati kerana di dalam akaun Facebook aku, masih ada video dan gambar dengan bekas suami yang masih belum dipadam. Mengata aku laparkan suami dia. Kelakar. Dia lupa siapa yang kongsikan segala gambar dan video dengan suami orang ketika masih berstatus penyondol.
“Sebenarnya aku juga sudah lupa atas kesibukan kerja. Tiada sekelumit niatlah nak simpan kenangan dengan bekas suami. Aku doakan semoga bekas suami dan bekas madu berbahagia di atas perbuatan mereka selama ini. Alhamdulillah, aku gembira sahaja dengan dunia sendiri. Maklumlah sudah kembali membujang.
“Semoga aku dijauhkan daripada lelaki ‘spesies’ macam bekas suami. Semoga diri ini dijauhkan daripada menjadi penyondol dan merosakkan rumahtangga orang lain. Fasa sedih, kecewa dan tertekan itu sudah berlalu. Walaupun parutnya masih ada, tetapi pasti akan pudar juga dimakan oleh waktu.
“Aku selalu berdoa kepada Allah supaya hilangkan semua perasan benci dan marah kepada bekas suami dan bekas madu. Kerana aku tak mahu selamanya hidup dalam kemarahan dan kebencian. Aura negatif itu sangatlah tidak membantu aku lupakan segalanya. Jadi aku belajar supaya reda dengan semua yang telah berlaku.
“Nasihat aku kepada wanita lain di luar sana, janganlah menjadi orang bodoh seperti diriku dahulu. Bertahan selama 13 tahun dalam perkahwinan toksik dengan perangai keji suami yang tak pernah berubah. Jalanku mungkin mudah sebab tiada anak yang perlu difikirkan. Tetapi kesan perkahwinan ini tetap memakan diriku daripada dalam.
“Maaf sekiranya perkongsian ini terlalu panjang. Secara ringkas sahajalah aku boleh ceritakan. Kalau secara terperinci, mahu menjadi sebuah novel nanti. Terima kasihlah kerana sudi membaca. Sampai jumpa lagi.” Kongsi wanita terbabit menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Dengan aku bagi alasan tak ada masa tapi sibuk nak dengar masalah perempuan lain…”