Seorang wanita tidak pernah menyangka, hubungannya dengan mentua bakal menjadi keruh dalam sekelip mata selepas mengambil keputusan untuk berhenti kerja.
Sedangkan keputusan untuk menjadi suri rumah selepas melahirkan anak pertama itu dibuat dengan persetujuan suami yang mengerti peranannya dalam mencari nafkah.
Nekad untuk menjaga jaraknya dengan keluarga mentua, berikut perkongsian wanita yang masih berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan demi cinta terhadap suami.
“Assalamualaikum. Aku seorang isteri, berumur 28 tahun. Miliki seorang cahaya mata yang comel. Usia perkahwinan aku dengan suami hampir masuk lima tahun. Mulanya hidup kami bahagia, Alhamdulillah. Kebahagiaan yang dirasai ketika itu membuatkan aku tak fikirkan pertanyaan ayah sebelum kahwin iaitu mengenai tempat tinggal.
“Aku cakap dekat ayah nak tinggal di rumah mak mentua sebab suami anak bongsu. Aku jadi rapat dengan mak mentua sejak duduk di situ. Semua perkara dia ceritakan kepada aku. Dari hal anak, menantu sampailah ke suami dia. Aku dengar sahajalah. Nak jadi menantu yang baik kononnya. Tak dinafikan, mak mentua memang baik.
“Aku pula bunting pelamin, lagilah dapat layanan istimewa terutama daripada suami. Walaupun aku tiada alahan, namun kerja memasak semuanya ibu mentua buatkan. Lagi pula aku masih bekerja waktu itu. Kalau nak masak apa diri sendiri nak, ataupun yang suami ingini barulah aku ke dapur. Tetapi selepas bersalin, lain pula jadinya.
“Keadaan aku ketika itu tak berapa baik. Kerja pula memerlukan aku untuk ke tapak pembinaan. Jadi suami bersetuju aku berhenti kerja. Macam-macamlah fikiran aku masa itu. Tetapi suami banyak berikan kekuatan dan sokongan. Aku pun jadilah suri rumah. Namun lama-lama sikap mak mentua berubah menjadi lain terhadap aku.
“Mak mentua pernah cakap dekat aku kalaulah dia kaya, anaknya tak dibenarkan kerja. Mungkin dia nampak betapa susah payah anaknya bekerja mencari rezeki buat anak dan isteri. Mulanya aku tak ambil hati. Cuba fikir positif. Tetapi pandangan mata dan percakapan mak mentua berubah menjadi dingin terhadap aku dari hari ke hari.
“Sebabkan itu, aku banyak menangis. Suami perasan dan memujuk aku. Selepas itu, emosi aku mula membaik. Tetapi boleh pula kena sakit misteri. Badan aku naik bisul yang banyak. Aku berubat. Ketika itu barulah aku tahu mak mentua dengan kawan baiknya sepatutnya menjadi besan. Tetapi aturan Allah, tiada siapa boleh sangkal.
“Setelah insiden itu, mak mentua lain sangat dengan aku. Suka perli-perli aku. Macam biasa, aku akan ceritakan kepada suami apa yang jadi di rumah semasa dia bekerja. Suami cadangkan aku bekerja semula. Aku mula mencari dan dapat, Alhamdulillah. Bekerjalah aku macam biasa sehingga dapat surat perlantikan daripada majikan.
“Namun perkara lain pula terjadi kepada aku dan suami. Hubungan ‘bersama’ kami jadi semakin susah. Aku sudah kering-sekeringnya. Dua bulan juga aku cuba untuk positifkan diri yang keadaan ini berpunca daripada ubat perancang. Aku cerita dekat orang terdekat. Mereka kemudian memberikan cadangan untuk aku berubat lagi.
“Memang kena buatan orang. Suami hanya kata aku penat. Sampai satu tahap, aku minta suami nak duduk rumah lain. Tak sanggup nak tengok muka mak mentua yang aku sayangi. Aku juga menjadi dingin dengan suami. Beberapa kali jugalah aku tanya suami, mak mentua tak berkenan ke kami berkahwin sebelum ini.
“Apabila sudah berpindah rumah, aku sangka keadaan akan membaik. Tetapi badan aku pula sakit. Daripada boleh berjalan sampai aku kena merangkaklah kalau nak bergerak. Keluarga aku sedih sangat-sangat. Mereka banyak tolong aku masa suami bekerja. Aku berubat sana sini sampaikan cuti sakit yang diambil jadi terlalu banyak.
“Aku juga masuk hospital selama seminggu sebab badan lemah sangat-sangat. Nak angkat jari pun tak lepas. Keluarga mentua tak tahu apa yang jadi sampai aku masuk hospital. Aku yang minta suami jangan beritahu keluarga dia. Perasaan sedih, marah dan semuanya aku lepaskan kepada suami. Tetapi dia akur sahaja.
“Walaupun aku dingin dengan suami, dia tetap berikan layanan yang baik sangat-sangat. Suami suka suap aku makan. Banyak dia bersabar dengan aku. Sebabkan amarah, aku tersedar yang diri sudah berubah menjadi lain. Bukan lagi wanita yang suami kenali dahulu. Banyak dia bagi ‘hint’ supaya aku jadi macam dahulu kembali.
“Seperti mula-mula kami bercinta. Tetapi satu hari, aku terkeluarkan perkataan cerai. Terus suami berubah dari mengambil berat kepada pendiam. Aku sedar yang kejadian itu sudah melampaui batas kesabaran dia. Aku menyesal dengan sikap sendiri. Memang perkataan aku itu sangat menyakitkan hati dia. Sejujurnya, aku menyesal.
“Mula sedar di dalam diamnya suami, aku rindu dengan semua layanan dia. Kami bercakap sebelum tidur. Aku meminta maaf kepada dia. Tetapi dia kata tenang aku ini sementara sahaja. Sampai masa aku marah, jadi lain. Aku tak tahulah sama ada diri ini baran ataupun sudah gila? Tetapi aku sedar ketika perkara (amarah) itu dilakukan.
“Mungkin rumah tangga kami bermasalah sebab aku dan suami tak jumpa lagi jalan penyelesaian mengenai hubungan dengan ibu mentua. Tak akan nak berterus terang pula. Aku rasa itu bukanlah yang terbaik. Aku hanya mampu jaga jarak sahaja. Minta suami balik rumah mak dia sekali sekala. Tetapi aku belum kuat nak ikut dia.
“Suami pula masih belum terima kalau aku cakap tak nak ikut. Tetapi setiap aku balik sana, mesti sakit teruk. Aku sudah lama perasan keadaan ini. Lalu cubalah menjaga diri dengan kekalkan jarak dengan keluarga mentua. Salahkah aku buat macam ini? Sekarang aku cuba mencari redha Allah. Aku banyakkan berzikir.
“Aku cuba jadi isteri yang menyenangkan. Aku cuba jadi isteri terbaik untuk suami. Aku nak belajar erti sabar yang sebenar. Aku sedar diri ini masih mencintai suami dan menyayangi dia. Namun aku hanya manusia biasa yang lemah dan memiliki perasaan. Doakan aku kuat.” Kongsi wanita terbabit menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Dengan aku bagi alasan tak ada masa tapi sibuk nak dengar masalah perempuan lain…”