Masih ada sesetengah kedai makan yang tidak pamer harga makanan dan hanya bergantung kepada pekerja sahaja untuk menentukan berapa perlu dibayar pelanggan.
Ini akan menyebabkan ramai teragak-agak mahu masuk dan makan apatah lagi tiada papan menu serta harga.
Disebabkan itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menggesa peniaga kedai makan meletakkan harga untuk menyenangkan pembeli.
Menerusi TikTok KPDN Melaka, jelas terlihat pegawai bertugas menyoal pekerja mengenai harga apabila tiada satu tanda untuk menunjukkan harga makanan atau minuman di situ.
“Nak makan pun jadi takut kalau kedai tak letak harga makanan. Bukan apa takut tak cukup nak bayar nanti, ” ujar kapsyen di TikTok KPDN Melaka.
Dalam pada itu pegawai tersebut sempat bergurau bahawa hanya orang ada ‘ilmu’ sahaja boleh melihat harga di sana.
“Ini harga engkau seorang sahaja boleh tengok, orang kena menurut dan menuntut ilmu, guna ilmu batin baru boleh nampak harga.
“Orang yang datang sini pun nak tahu, jenis yang bawa duit cukup-cukup.
“Jadi kalau orang sini nak tahu ini berapa ringgit kena tanya awaklah? Ini kalau masuk ‘exam’, awak seorang sahaja 4 flat,” ujarnya dalam video tersebut.
Tindakan telah diambil terhadap kedai makan tersebut kerana gagal mempamerkan tanda harga.
Rata-rata netizen di ruangan komen meminta KPDN Melaka untuk turun padang ke gerai menjual durian jelas tidak menunjukkan tanda harga.
Baca juga: Hilang RM3k sekelip mata, wanita nasihat orang ramai jangan tekan ‘link’ sembarangan