Penjual burger RM2 rupanya ‘sara’ 81 kucing peliharaan, walau untung kecil perniagaan tak pernah rugi

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka mungkin kerana kebaikan hatinya yang menjaga 81 ekor kucing peliharaan dan menjual burger pada harga amat murah serendah RM2, peniaga burger ini tidak pernah rugi dalam perniagaannya.

Kata Mohd Zulfaiq Ayob, demi berkongsi rezeki dengan orang ramai, dia tidak kisah meraih untung kecil menjual burger daging dan ayam serendah RM2.

Menurutnya walaupun dia meraih untung kecil, namun perniagaan itu tidak mendatangkan kerugian, malah menarik lagi kehadiran pelanggan ke gerainya terutama selepas kisah burger RM2 tular di laman sosial.

Memetik laporan Harian Metro, Mohd Zulfaiq yang sudah 17 tahun menjual burger itu tidak mahu menggunakan alasan keadaan ekonomi semasa untuk menaikkan harga jualan kerana perlu mengambil kira golongan kurang berkemampuan yang juga ada keinginan makan burger.

Katanya, idea asal jual burger pada harga RM2 tercetus daripada isterinya Dahlia Mohd Taib, 39, dan diteruskan kerana ada permintaan sehingga kini.

“Saya jual burger kerana nampak ia makanan yang ramai orang suka dan ada peminatnya.

“Menu saya biasa saja iaitu daripada burger RM2 sehingga ‘triple’ dengan harga sehingga RM6.

“Buat masa ini, (harga) masih lagi relevan walaupun untung tipis dan permulaannya saya jual serendah RM1.50, kemudian naik ke RM2 yang bertahan sejak beberapa tahun lalu sudah sampai sekarang.

“Niat saya nak kongsi rezeki yang ada dalam keadaan ekonomi kritikal sekarang kerana burger memang orang cari dan jual serendah RM2 dengan harapan orang akan datang,” katanya seperti dilapor.

Berkongsi lanjut kisahnya, Mohd Zulfaiq berkata dia pernah didatangi pelanggan yang memesan dua biji burger, tetapi mahu burger-burger itu dipotong beberapa bahagian.

Dia yang tersentuh dengan situasi itu lantas membungkuskan burger lebih untuk pelanggannya itu.

“Setakat ini ‘okay’ berniaga di sini dan jumpa dengan bermacam jenis pelanggan, cuma dua minggu lalu, ada seorang (pelanggan) hamba Allah SWT buat saya tersentuh kerana datang pesan dua burger dan minta potong lagi ke beberapa bahagian.

“Saya perhatikan anaknya empat orang, jadi saya lebihkan burger kerana saya dulu pernah susah, jadi tahu macam mana sukarnya berada di tempatnya.

“Ada juga datang dengan duit tak cukup, jadi sebagai manusia saya tentunya tak sampai hati kalau tak tolong,” katanya lagi.

Baca juga: “Ni kalau exam, awak seorang je 4 flat” – KPDN Melaka minta penjual pamer harga makanan