Nak makan macam dekat kedai? Ini tip nak masak beras basmati, barulah lembut dan ‘peroi’

Oleh MAISARAH AISYA

Kalau makan di kedai elok sahaja rupanya tapi bila masak di rumah, jadi lembik sangat dan tak enak dijamah.

Rupanya nak masak nasi guna beras basmati ini ada cara tersendiri bukan masak macam beras biasa, tak menjadi nanti.

Pengguna Facebook, Se Zemi berkongsi tips sebenar cara masak nasi menggunakan beras basmati di halaman ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ini’.

Tips masak beras basmati

Nasi akan jadi lembut dan peroi (mudah pecah-pecah atau berderai).

1. Sediakan beras

Langkah yang paling utama dalam mendapatkan nasi yang lembut dan peroi adalah dengan merendamkan beras ni selama 1 hingga 2 jam di dalam air terlebih dahulu.

Ini adalah kerana untuk memastikan beras mendapatkan semula kelembapan semulajadinya.

Tips penting: Jika ada garam bukit atau sea salt boleh lah masukkan sedikit kedalam air rendaman. Rendamkan beras adalah langkah paling utama.

2. Nisbah sukatan (air:beras)

Selain rendam beras nisbah sukatan air kepada beras juga adalah sangat sangat penting untuk menjadikan nasi lembut dan peroi.

Gunakan nisbah sukatan 1 cawan beras : 1 1/4 cawan air atau air dengan cecair lain seperti susu ataupun santan.

Sukatan ni boleh digunakan juga untuk jenis beras pusa, kashmir dan juga mogul.

Jika nak lebihkan cecair, pastikan jangan lebihkan dari sukatan 1 1/2 cawan bagi 1 cawan beras ya.

3. Teknik dan kaedah masakan

Ada tiga kaedah memasak yang sesuai digunakan mengikut jenis nasi yang kita nak masak:

  • Kaedah menumis beras dahulu:

Kaedah ni selalunya di tumiskan semua bahan-bahan tumis di dalam periuk nasi dan masukkan air dengan sukatan yang betul.

Biarkan cecair mendidih terlebih dahulu baru dimasukkan beras.

  • Kaedah mendidihkan air ikut sukatan:

Bagi kaedah ni pulak rempah rempah ditumis asing dan dicampurkan sekali dengan cecair, sama juga didihkan cecair sebelum masukkan beras ke dalam.

  • Kaedah didih air tanpa sukatan:

Kaedah ni selalunya digunakan bagi yang dah kerap kali masak beras jenis ni dan selalunya masak dalam kuantiti yang banyak.

4. Pantang larang ketika memasak

Antara pantang larang yang harus dielakkan ketika memasak nasi menggunakan beras basmathi:

  • Jika nak kacau beras ketika masak

Harus diingatkan hanya kacau beras ketika cecairnya masih banyak, elakkan kacau ketika cecairnya sudah mengering.

Ini akan mengakibatkan beras anda patah. Sebab pada ketika ni beras berada dalam keadaan rapuh.

  • Jika masak beras atas api

Perlahankan api apabila cecair dah mula mengering dan tutup periuk serapat mungkin agar kita tak kehilangan wap tuk proses memasak.

  • Sentiasa biarkan nasi rehat

Biarkan nasi di dalam periuk dahulu selama 10 ke 15 minit selepas ianya dimasak, jangan terus dikacau dahulu, rehatkan sebelum dikacau.

  • Kacau nasi ketika panas

Untuk mendapatkan berbutir, nasi akan mula bergumpal dan melekat setelah ianya sejuk. Kacau nasi dari sebelah luar dahulu dan jangan tergopoh gapah, nanti beras akan patah.

Baca juga: Penjual burger RM2 rupanya ‘sara’ 81 kucing peliharaan, walau untung kecil perniagaan tak pernah rugi