Enggan ulas soal hubungan lama, Mawar pilih jaga emosi anak, masih hormat bekas suami

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya ada sebab mengapa setiap pasangan itu bercerai, kedua-dua mesti sudah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.

Tidak mahu membuka aib sesiapa, pelakon Mawar Rashid memilih untuk tidak mengulas perihal hubungan dengan bekas suami, Raf Yaakob.

Mawar sebolehnya tidak mahu kenyataannya disalah tafsir atau diputar belit pihak tertentu lapor Kosmo! Online.

Pada masa sama, Mawar memaklumkan fokus utama kini adalah menjaga anak-anak dan menguruskan kerjaya semula.

“Buat masa sekarang kami cuba yang terbaik. Itu sahaja yang saya boleh cakap. Kalau saya bercakap mengenai bekas suami, bimbang itu boleh menjadi punca atau permasalahan lain.

“Apa yang berlaku antara saya dengan bekas suami biarlah hanya kami sahaja yang tahu.

“Lagi pun saya perlu menjaga emosi anak-anak yang masih kecil dan saya tetap menghormati bekas suami kerana dia ayah kepada anak saya.

“Jadi saya cuba elakkan apa-apa yang tidak baik,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Mawar mengakui masih berhubung dengan Raf soal anak-anak agar mereka tak terkesan dengan penceraian tersebut.

“Kami sentiasa berkomunikasi mengenai anak-anak dan keutamaan kami adalah untuk membesarkan mereka.

“Kami perlu pastikan mereka okey. Saya dan bekas suami akan terus menjaga hubungan baik demi memberikan yang terbaik buat anak-anak.

“Kami akan kongsi urusan berkaitan anak-anak secara bersama sebab mahu pastikan mereka dapat menjalani kehidupan sama seperti sebelum berpisah,” ujarnya.

Masih menyesuaikan diri sebagai ibu tunggal, Mawar memaklumkan kedua anak mereka di bawah jagaannya dan bersama Raf pada hujung minggu.

Baginya setiap yang berlaku itu mengajarnya sesuatu untuk memahami makna kehidupan, malah percaya Tuhan sudah susun cantik semuanya.

Baca juga: Watie buat pengakuan ‘berani mati’, 6 kali bedah hidung di Thailand kerana masalah ini