Hampir 15 tahun di luar negara, mahu zuriat sendiri antara punca Yuna mahu pulang ke Malaysia

Oleh MAISARAH AISYA

Membesarkan anak dimana-mana negara pun ada ujian tersendiri namun pastinya lebih selesa jika ia dilakukan di tanah air, dekat pula dengan keluarga.

Begitu juga dengan penyanyi terkenal, Yuna yang menghabiskan hampir 15 tahun berada di Amerika Syarikat bagi mengembangkan karier.

Selepas enam tahun berkahwin, Yuna dan pasangan Adam Sinclair mengimpikan zuriat sendiri lapor Kosmo! Online.

“Memang saya dan Adam sudah lama inginkan cahaya mata. Kami sedang berusaha ke arah itu.

“Tetapi sebelum itu, kami nak buat ‘sarang’ di sini terlebih dahulu. Bina rumah sendiri dan pastikan keadaan betul-betul stabil.

“Kami pernah mencuba sebelum ini untuk dapatkan anak, tetapi belum ada rezeki. Nak buat macam mana?

“Jadi kami terus tunggu dengan tenang,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Baginya Malaysia dilihat sebagai negara terbaik buatnya untuk membina keluarga bersama suami tersayang.

“Kualiti kehidupan sebagai sebuah keluarga, lebih baik di Malaysia.

“Di sini rasa lebih selamat, ada sistem sokongan yang kuat daripada keluarga dan teman-teman,” tambahnya.

Baca juga: Pernah hidup susah, Diana Danielle dedah dulu nak beli nasi lemak RM1 pun rasa mahal