Tindakan beberapa orang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat kejutan di sebuah restoran mamak di Shah Alam, Selangor berjaya menuai pujian orang ramai.
Suasana haru itu sempat dirakamkan oleh salah seorang pelajar sebelum berkongsi video tersebut menerusi satu hantaran dimuat naik di platform media sosial TikTok.
Difahamkan, sekumpulan pelajar berkenaan mungkin tidak dapat lagi berkunjung ke restoran tersebut kerana sudah menamatkan pengajian mereka di IPT berdekatan.
Mereka kemudian mengambil keputusan untuk memberikan kejutan kepada ‘mamak kegemaran’ sebagai penghargaan kerana sentiasa melayan pelanggan dengan baik.
“Membuat kejutan kepada mamak kegemaran kami sebelum mengucapkan selamat tinggal. Kalau ada rezeki, kami akan datang lain. Semoga dapat berjumpa lagi di lain masa!
“Nanti sudah tak dapat makan dekat kedai mamak ini,” tulis salah seorang pelajar yang berkongsi perasaan sedihnya menerusi ruangan kapsyen hantaran berkenaan.
Dalam rakaman tersebut, mamak yang menerima kejutan berkenaan tampak begitu gembira ketika memegang kotak kek diberikan oleh sekumpulan pelajar IPT terbabit.
Lelaki berkenaan kemudian membawa kek tersebut dan beredar ke bahagian kaunter untuk mengabadikan gambar kejutan yang diterima menggunakan telefon bimbitnya.
Mencuri perhatian ramai, rakaman yang dikongsikan oleh pelajar IPT terbabit telah berjaya meraih 373,100 tontonan bersama 61,100 tanda suka daripada para pengguna platform TikTok.
Rata-rata pengguna membanjiri ruangan komen tersebut dengan pujian kerana pelajar IPT itu telah memberikan kegembiraan yang cukup bermakna untuk mamak berkenaan.
“Anda bukan sahaja telah memberikan kegembiraan kepada mamak itu sepanjang harinya malah mungkin untuk seumur hidupnya. Ini mungkin kali pertama orang membuat kejutan seperti itu kepadanya,” kata seorang pengguna.
“Kenapa saya menangis melihat video ini. Comelnya. Anda semua memang terbaik. Teruskan berbuat baik kepada orang ramai ya. Ya Allah, moga kebaikan ini menjadi asbab untuk kamu semua bahagia dunia akhirat. Amin.” Ujar pengguna lain.
Romantis betul kumpulan pelajar IPT itu ya, mesti mamak berkenaan terharu sangat dengan kejutan yang diberikan.
Baca juga: Bukan biasa-biasa! Pemilik banglo 3 tingkat sewakan rumah kepada pelajar IPT, caj RM550 sekepala