Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang lepas, Barisan Nasional (BN) tewas dengan majoriti 810 undi. Defisit ini dijangka akan dapat diatasi jika BN berjaya menarik lebih seribu undi pengundi DUN berkenaan yang terlibat dengan PAKS Rantau Manis dengan cara menyelesaikan masalah mereka yang sedang mereka hadapi sekarang dengan Kesedar.
Sebanyak 585 peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) di Taman Agropolitan Rantau Manis hilang pekerjaan apabila projek tersebut diambil alih Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Projek berkenaan yang pada asalnya dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kesedar, namun selepas kerjasama tamat, ECERDC telah menyerahkan projek itu sepenuhnya kepada Kesedar berkuat kuasa 1 Januari 2022 lalu. Sejak itu semua peserta kembali merempat kerana tiba-tiba hilang mata pencarian.
Menurut wakil peserta PAKS yang ditemui berkata, mereka yang merupakan rakyat termiskin tegar yang dipilih dari seluruh Kelantan bagi menyertai program berkenaan sebagai salah satu ikhtiar basmi kemiskinan tegar sebelum ini. Mereka diberikan lot tanah untuk diusahakan dengan sawit dan sebuah rumah E-Kasih apabila menyertai projek berkenaan. Walau bagaimanapun penyelesaian penamatan projek itu yang diputuskan pihak Kesedar dan ECERDC tanpa berbincang lanjut dengan peserta projek itu membuatkan mereka kehilangan punca rezeki.
Segala perjanjian antara peserta dengan ECERDC sebelum ini terbatal dan para peserta yang sebelum ini mencari rezeki bergantung kepada hasil kelapa sawit tidak lagi dibenarkan masuk ke lot sawit masing-masing. Malah pihak Kesedar telah membuat laporan polis ke atas peserta kerana enggan akur menyerahkan tanah lot mereka kepada Kesedar dan masih mengerjakannya. Seramai 10 orang peserta telahpun ditahan oleh pihak polis berkaitan laporan oleh Kesedar berkenaan. Mereka walaubagaimana pun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
“Satu surat penyerahan pemilikan kediaman diedarkan kepada peserta program untuk ditandatangani tanda setuju serah ladang kepada Kesedar yang mana kami tidak setujui.”
“Mengikut kandungan surat, peserta yang bersetuju menyerah ladang mereka dan menandatanganinya akan diberikan surat pemilikan rumah E-Kasih yang sudah kami duduki sekarang serta menerima gratuiti penyertaan RM8400 sahaja. Itu sahaja.” kata wakil berkenaan.
“Ketika ini peserta yang enggan menandatangani surat itu telah hilang punca pendapatan. Sebelum ini purata pendapatan bulanan kami bekerja di ladang adalah minima RM1,500 sebulan. Kehidupan kami sejak 2022 semakin tertekan apabila terpaksa bergolok-gadai barang kemas dan menjual barangan berharga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
“Kini kami terpaksa melantik peguam. Kami telah berbincang dan melantik Tetuan Hisham Fauzi & Associates, peguam dari Kota Bharu untuk bertindak bagi pihak kami.”
“Pertama kerana kami mesti membawa Kesedar ke Mahkamah demi mempertahankan hak kami atas lot yang telah kami usahakan dari asal hinggalah mengeluarkan hasil sekarang. Kedua untuk mempertahankan diri kami di Mahkamah kerana Kesedar telah membuat laporan polis menuduh kami mencuri hasil sawit dari lot berkenaan. Bagaimana kami boleh dituduh mencuri sedangkan lot berkenaan adalah hak kami dari awal lagi?” Keluh beliau.
Projek Agropolitan Kelantan Selatan menelan belanja RM240 juta dilaksanakan bermula tahun 2009 bermatlamat mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat miskin tegar sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
Dalam tempoh 12 tahun, projek itu telah memberi manfaat kepada hampir 600 keluarga meningkatkan taraf hidup masing-masing apabila diberikan kediaman serta jaminan pekerjaan di ladang kelapa sawit.
Walau bagaimanapun, sejak 2022 mereka hidup miskin semula. Jalan akses ke kebun mereka dikunci pintu pagarnya dan semua peserta tinggal tergantung tanpa sebarang pekerjaan atau mata pencarian.
Sumber: Lawyer Hisham Fauzi
Baca juga: Individu percaya strategi Malakat Mall guna kempen BMF “makan diri”, punca tiada sambutan