Siapa sangka, remaja berusia 14 tahun boleh meraih pendapatan bulanan mencecah RM3,500 dengan bekerja di sebuah pusat panggilan milik sindiket penipuan.
Kegiatan terbongkar selepas pihak polis membuat serbuan ke atas pusat panggilan yang berselindung di sebalik sebuah premis kediaman di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Di dalam serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa pada Isnin lalu itu, seramai empat remaja berusia 14 hingga 16 tahun menjadi antara sembilan individu yang ditahan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek disyaki sebagai operator panggilan dan pengurus data sindiket terbabit.
Jelasnya, empat remaja yang dipercayai sudah tidak bersekolah itu ditugaskan untuk mencari dan menjerat mangsa dari China dengan gaji sekitar RM3,500 sebulan, lapor Harian Metro.
“Sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar Januari dan mengendalikan platform Lehuigoua yang digunakan sebagai laman web yang menyerupai platform e-dagang.
“Platform ini dipromosikan sebagai tempat yang sah untuk membeli barang atau perkhidmatan namun hakikatnya ia adalah muka hadapan untuk skema penipuan lebih besar,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menurut Ramli, sindiket tersebut akan menjanjikan pulangan komisen yang lumayan kepada mangsa dan mendakwa ia bekerjasama dengan syarikat e-dagang ternama untuk meyakinkan sasaran mereka.
Sekiranya mangsa berminat untuk menyertai, mereka akan dimasukkan ke dalam kumpulan sembang di aplikasi Telegram di mana segala arahan diberikan di situ.
“Komisen yang dijanjikan adalah berubah-ubah dari 0.3 hingga 0.6 peratus dengan tawaran untuk memperoleh pendapatan tinggi sering digunakan sebagai umpan.
“Siasatan setakat ini turut mendapati sindiket itu mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform berkenaan yang membolehkan ia mengubah data seperti maklumat kredit dan keuntungan.” Ujarnya.
Mengulas lanjut, Ramli memberitahu kesemua suspek terdiri dari dua lelaki dan dua wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan lima daripada suspek direman sehingga hari ini manakala empat yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.
Baca juga: Hampir dicabul kaum sejenis, Tony Eusoff imbau kenangan pahit semasa remaja