Doktor kongsi tip cepat nak hilangkan tangan pijar, rupanya air sahaja tak cukup!

Oleh MAISARAH AISYA

Bagi yang suka buat sambal dalam kuantiti banyak mesti ada masa tangan menjadi pijar disebabkan terpegang cili.

Sakitnya tu memang rasa kebas tangan dan solusi paling cepat terlintas dalam kepala adalah untuk basuh dengan air.

Rupanya air sahaja tidak cukup, ikuti perkongsian Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan mengenai cara sebenar nak hilangkan rasa pijar di tangan.

“Tangan kita pijar selepas pegang cili adalah kerana cili mengandungi capsaicin. Sebatian ini, akan merangsang reseptor deria sakit.

“Kalau kena kulit, kita rasa pijar, kalau kena lidah, kita rasa pedas.

“Capsaicin ni, ia tak larut air. Kalau kita cuci tangan dengan air sahaja, capsaicin ni sukar nak tanggal dari kulit kita. Capsaicin ni larut dalam minyak atau lemak,” ujarnya di Facebook.

Cara hilangkan pijar di tangan

1. Susu

Susu adalah berlemak dan mengandungi sejenis protin dipanggil casein. Ia akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit.

Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.

2. Minyak

Jika nak cuci tangan guna susu, rasa macam membazir pula. Jadi kita boleh gunakan minyak.

Minyak akan mencairkan capsaicin dan selepas itu perlu juga bilas dengan air sabun.

3. Cuka

Capsaicin bersifat alkali, jadi secara teori bahan berasid boleh meneutralkan atau melemahkan kesannya.

Boleh juga gunakan air asam, perahan limau, atau sos tomato.

4. Alkohol

Capsaicin juga boleh dilarutkan dengan alkohol.

Jadi boleh gunakan pensanitasi tangan berasaskan alkohol untuk mencuci tangan yang pijar. Kena gunakan banyak.

5. Losen

Gunakan losen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin, kemudian disusuli dengan bilasan air sabun untuk buang losyen yang telah dicemari capsaicin tadi.

Selain mencuci gunakan bahan-bahan tertentu, capsaicin juga boleh ditanggalkan menggunakan geseran.

Maknanya kena gosok tangan dengan tuala, berus, garam atau hampas kelapa.

Baca juga: Baru tahu daun pandan boleh bantu cegah penuaan, campur 1 bahan ini sebelum oles di muka