Ahli keluarga kepada seorang pelajar tingkatan empat yang mengalami sawan dan ditemui tidak sedarkan diri di perkarangan sekolah telah tampil membuat laporan polis.
Menurut sumber, kejadian yang berlaku pada Isnin lalu di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kemaman, Terengganu itu berpunca daripada rokok elektronik.
Pelajar lelaki yang berusia 16 tahun itu dilaporkan telah menghisap rokok elektronik atau lebih popular dikenali sebagai vape jenis ‘magic mushroom’ secara berlebihan.
Difahamkan, remaja berkenaan terpaksa mendapatkan rawatan perubatan selepas mengalami gejala teruk akibat daripada pengambilan bahan tersebut, lapor Buletin TV3.
Kejadian itu disedari oleh seorang murid pada pukul 10.30 pagi yang memaklumkan kepada guru sebelum mangsa dibawa ke klinik kesihatan berdekatan oleh keluarganya.
Mangsa kemudian dirujuk ke unit kecemasan di Hospital Kemaman dan pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami sawan kritikal akibat dari pengambilan perisa diperbuat dari bahan kimia berbahaya secara berlebihan.
Sumber turut mendedahkan, kegiatan menghisap rokok elektronik di kalangan pelajar sekolah berkenaan berada di tahap yang membimbangkan selain telah dikesan aktif sejak tiga tahun lalu.
Pelajar berkenaan dilaporkan masih dirawat di hospital berkenaan setakat ini manakala satu laporan polis telah dilakukan oleh ahli keluarga mangsa pada Jumaat lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Supt Hanyan Ramlan mengesahkan pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh keluarga mangsa.
Semoga kejadian ini dijadikan pengajaran kepada pelajar sekolah yang masih berdegil menghisap rokok elektronik tanpa memikirkan kesannya kepada kesihatan tubuh badan.
Ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan mereka untuk memberikan kesedaran dan membendung anak dari melakukan perkara negatif termasuklah menghisap vape.
Baca juga: Pengantin wanita panjat bumbung rumah, protes dijodohkan dengan lelaki pilihan ibu bapa