Seorang wanita berazam untuk mencari kebahagiaannya sendiri apabila suami yang diharapkan langsung tidak membantu ketika dirinya menjadi mangsa hinaan.
Tidak hanya menerima layanan yang dingin daripada ibu mentua, wanita dikenali sebagai Rose itu turut dijadikan ‘sasaran’ oleh adik-beradik suami dan birasnya sendiri.
Berikut perkongsian wanita yang kelihatan ceria namun keras hatinya dalam perjalanan mencari bahagia sendiri tanpa sokongan moral daripada insan bergelar suami.
“Aku telah berkahwin, berumur 35 tahun namun tiada zuriat. Aku bergelar isteri ketika berusia 22 tahun kepada suami yang berumur 27 tahun. Dia adalah anak kelima dari enam beradik. Pada pandangan orang lain, suami memang kacak jika dibandingkan berbanding aku. Tetapi aku ini jenis yakin diri. Rasa diri ini lebih lawa daripadanya.
“Dalam dua tahu usia perkahwinan, kami direzekikan dapat rumah sendiri walaupun suami sahaja yang berkerja kerajaan. Aku ini suri rumah sahaja. Episod deritaku mula menjelma. Ayah mentua tiba-tiba sakit. Oleh kerana tidak berkerja, aku tawarkan diri untuk membantu menjaga ayah mentua di hospital. Aku ini orang yang jenis ceria.
“Tetapi daripada pukul 2 petang, sampailah 11 malam perut keroncong. Lapar, tetapi suami aku atau adik-beradik dia masih tak nampak batang hidung. Terpaksalah aku beranikan diri untuk cari makanan sendiri. Pukul 12 malam barulah suami aku datang ambil sebab abang ipar ganti tempat. Malam itu pula aku tidur di rumah ibu mentua.
“Pagi-pagi lagi ibu mentua sudah bising suruh aku teman suaminya. Aku yang sejenis ceria ini terus menjadi pendiam. Tetapi di dalam diam, terus suruh suami hantar aku balik rumah. Senangkan. Aku ini ikhlas jaga bapa mentua. Tetapi apabila ibu mentua bersikap macam itu, aku jadi hilang hormat. Adik-beradik suami mulalah tak suka.
“Alasan mereka, aku tiada anak. Isteri mereka ada anak. Malah dua anak perempuan bapa mentua juga bekerja. Aku ini nampak sahaja ceria tetapi hati keras. Aku dengar pelbagai umpatan dan hinaan hingga mata-mata yang memandang mula membenci diri ini. Tetapi bagi aku, semua hinaan itu langsung tidak membuatkan diri ini goyah.
“Kerana hinaan itu sebenarnya bukan untuk aku tetapi kepada suami. Sebab di awal perkahwinan kami dahulu, aku dan suami sudah jumpa Pakar Kesuburan, Perbidanan dan Sakit Puan (O&G). Pakar beritahu suami yang ada masalah, aku normal sahaja. Ketika itu baru dua tahun usia perkahwinan kami. Siap berjanji simpan rahsia ini.
“Lalu ke mana sahaja aku pergi, akan adalah yang tuduh mandul. Katanya rugi tiada anak hinggakan menyuruh suami buang aku sebab mandul. Wow! Hebat sungguhkan manusia. Aku tetap aku, tak berundur untuk orang yang menghina. Tetap berjalan ke hadapan. Aku cantik. Aku pandai dan akulah isteri yang terbaik. Kata hatiku saat itu.
“Pernah kakak aku tegur hatiku ini memang keras. Macam aku selalu kata dekat diri sendiri. Jika tak bersalah, kenapa aku nak dengar kata orang. Allah tahu siapa aku. Selepas bapa mentua meninggal dunia, ibu mentua pula yang diuji dengan teruk. Aku memang mengaku terus tak boleh jagakan tetapi tetaplah bantu carikan pembantu.
“Pembantu yang jaga ibu mentua memang baik orangnya. Aku hanya tolong kirakan upah dan bayarannya dibuat oleh adik-beradik suami. Mereka semua bersetuju. Aku ingatkan sudah selesai masalah dalam keluarga mentua. Rupanya, makin teruk ujian aku. Hinggakan adik-beradik siap suami nak datang rumah untuk menyerang aku.
“Kerana waktu itu, pertama kali di dalam hidup, aku mempertahankan diri ini sebagai menantu. Aku cakaplah nak saman orang yang mula membuat fitnah itu. Orang yang dimaksudkan ialah biras perempuan aku, menantu kesayangan keluarga. Aku tunggu mereka datang. Awal-awal siap bukakan penghawa dingin dengan lampu kristal lagi
“Tunggu punya tunggu, tak datang-datang juga. Mereka ingat sebab ramai, bolehlah menang. Salah, sebab aku ada bukti apa yang telah mereka lakukan. Mulai dari hari itu, aku hanya mahu mencari kebahagiaan diri sahaja. Tak bergantung kepada suami lagi sebab apa pun berlaku, dia hanya sembunyikan dirinya yang kacak dan baik itu.
“Aku yakin Allah berada di sampingku. Hebatnya suami sebab di dalam hebatnya dia, hati aku hancur. Dalam hancur aku ini, masih lagi mahu melawa. Siap hiaskan rumah cantik-cantik dan simpan duit. Aku selalu berdoa mahu menjadi isteri yang solehah dan taat kepada suami. Namun ujian aku hebat. Hanya pada Allah aku berbisik.
“Semasa mengelilingi Kaabah, aku melihat kebesaranNya. Ketika itu aku berdoa dan berdoa merintih kesedihanku. Tiada yang tahu betapa hancurnya hati aku. Aku juga merenung kembali apa yang berlaku selama menjadi menantu sehingga ibu mentua meninggal dunia. Mungkin aku manusia paling jahat di mata sanak saudara mentua.
“Tetapi aku mahu mencari bahagia sendiri dan perkara itu hanya ada di dalam diri kita. Aku bertuah dapat menjadi tetamu Allah. Ya Allah, betapa besarnya kasih dan sayangMu kepada hambaMu hingga aku dapat merasai kebahagiaan selama berada di sana. Terima kasih Allah. Terbayang di mata, adik-beradik suami datang ke rumah.
“Baru-baru ini mereka ada datang memohon kemaafan dariku kerana sudah ditimpa pelbagai penyakit. Aku maafkan tetapi tidak melupakan. Aku layan sebagaimana tetamu lain. Walau tiada zuriat, aku akan bahagia. Malah bahagiaku hanya Allah yang tahu.” Kongsi Rose (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.