“Lupa masak lepas balik kerja, suami paksa aku makan roti yang dia lempar di lantai”

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang suami tergamak memaksa isterinya memakan roti yang telah dilemparkan ke lantai hanya kerana wanita itu lupa menghidangkan makanan.

Lebih memburukkan keadaan, lelaki terbabit turut menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati walaupun isterinya itu sudah berulang kali memohon kemaafan.

Berjaya mencuri tumpuan ramai, berikut adalah perkongsian wanita yang tidak mahu mendedahkan identitinya itu menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform X.

“Aku seorang wanita berusia 25 tahun. Suami aku pula berumur 27 tahun. Kami baru sahaja berkahwin, tak sampai setahun lagi. Aku sebenarnya kecil hati dengan suami, tetapi tak tahu nak kongsi dengan siapa. Satu malam itu aku penat bekerja, memang barai yang amat. Jadi aku terlupa nak masakkan makan malam untuk dia.

“Sebabnya aku terus terlelap selepas balik kerja. Tak sempat mandi, makan ataupun masak. Suami biasanya pulang ke rumah selepas tiga jam aku balik dari kerja. Tetapi aku baru tersedar daripada terlelap itu pada jam 12 malam. Dia sudah balik, tengah menonton televisyen. Aku pun pergi ke ruang tamu untuk menyapanya.

“Selepas itu, aku pergilah ke dapur untuk buatkan suami air and roti mentega kacang sebab lauk juga masih beku. Tak tahu nak masak apa lagi. Jadinya, aku rancang nak makan sarapan pagi esok berat sedikit. Alang-alang esoknya kami cuti. Selepas aku hulur roti, dia tolak. Katanya kenyang. Aku paksa juga dia secara baik-baik.

“Sebabnya aku tahu suami tengah lapar. Tetapi tahu tak apa yang dia lakukan? Dia baling roti itu dekat lantai. Dia kata kalau aku lapar, makan sahajalah. Tak payah nak paksa dia pula. Aku terdiam. Katanya lagi kalau aku tak makan roti itu, esok dia akan buang semua lauk dalam peti. Menangis aku dekat lantai makan roti itu.

“Rasa sayu sangat. Aku bukanlah sengaja tak masak. Aku sendiri juga belum makan. Sekarang sudah hampir dua hari tak bertegur. Aku tidur dalam bilik, dia tidur di ruang tamu. Aku cuba tegur dan ajak borak, tetapi dia buat pekak sahaja. Sampai sekarang aku teringatkan tengkingan dia, ‘ada bini tetapi macam tak ada bini!’.

“Malam itu juga suami adalah tengking aku, ‘penat-penat bekerja untuk isteri tetapi isteri tak masak, sia-sia sahaja!’. Aku diam sepanjang dia tengking. Aku minta maaf tetapi suami buat bodoh sahaja. Sekarang aku nak buat apa? Sumpah tak sengaja lupa masak tetapi kenapa suami sanggup cakap macam itu dekat aku?.” Kongsinya.

Baca juga: “Tak faham dengan perangai ‘officemate’ aku ni, bujang tapi sondol suami orang, laki tu dah ada 3 isteri”