Baru tahu ada petua elak mesin basuh rosak, ikut panduan ini kalau sayang duit!

Oleh WAN SITI AMINAH

Mesin basuh merupakan antara peralatan elektrik paling penting yang berada dalam hampir setiap rumah di muka bumi ini.

Selain menjimatkan masa dan tenaga, mesin ini juga memudahkan urusan pencucian kerana pengguna perlu menekan butang ‘on’ sahaja untuk membersihkan pakaian.

Walau bagaimanapun, harga peralatan ini boleh dikatakan agak mahal hingga tidak mampu ditukar kepada unit yang baharu setiap kali ia gagal berfungsi dengan baik.

Oleh yang demikian, berikut kami kongsikan panduan penjagaan mesin basuh agar bertahan lama berdasarkan perkongsian daripada Ridzuan AlFattani di Facebook.

“Kebetulan dahulu saya juga pernah bekerja dalam bidang penyelenggaraan elektrik, mekanikal dan pembinaan. Terasa nak kongsi tips cara mudah menjaga mesin basuh untuk jangka masa lebih lama,” katanya.

1. Jangan bebankan mesin dengan terlalu banyak pakaian setiap kali membasuh. Ikut saranan yang diberikan oleh syarikat pengeluar peralatan tersebut.

2. Sesekali, bolehlah matikan suis soket selepas menggunakan mesin basuh. Jika terlalu lama dibiarkan di dalam keadaan ‘bersedia’, papan komputer akan semakin panas. Seeloknya matikan terus suis selepas baju dikeluarkan.

3. Dalam tempoh sebulan sekali, masukkan air panas ke dalam tub mesin. Hidupkan dalam mod minima untuk mencuci tub dan saluran buang air. Langkah ini boleh mengelakkan masalah tersumbat yang boleh merosakkan injap buang.

4. Sekiranya putaran mesin semakin lemah, mungkin ‘belting’ sudah longgar. Boleh cuba baiki dengan menggunakan sepana untuk menegangkan ia semula di bahagian bawah mesin. Boleh juga upah tukang dengan kos sekitar RM20.

5. Jika air masuk semakin perlahan ke dalam tub mesin, boleh cuba periksa bahagian paip air masuk. Berkemungkinan penapis (filter) tersumbat.

6. Kalau air tidak boleh mengalir keluar pula, boleh jadi injap buang air yang tersekat. Mungkin kerana ada objek tersangkut seperti duit syiling atau sebagainya.

“Cermat menggunakan mesin basuh boleh memanjangkan jangka hayat peralatan elektrik tersebut. Kita bukan banyak duit nak tukar mesin dua tahun sekali.” Ujarnya.

Baca juga: Baru tahu ada cara mudah hilangkan ‘peta’ di bantal, sental dengan 3 bahan ini terus selesai masalah!