Jambu batu adalah sejenis buah tropika yang mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh badan manusia termasuklah vitamin C, A, E, kalsium dan juga zink.
Malah kandungan vitamin C dalam jambu batu juga enam kali lebih banyak daripada buah oren selain mampu membantu menurunkan paras kolesterol di dalam darah.
Buah-buahan ini turut menjadi kegemaran ramai dan mudah didapati kerana ia dijual di kebanyakan gerai buah-buahan dan pasar raya dengan harga yang berpatutan.
Namun tahukah anda, buah jambu batu ini sebenarnya boleh ditanam di dalam pasu malah prosesnya juga mudah dan hanya mengambil masa tiga bulan untuk berbuah.
Untuk menjawab persoalan ini, berikut lima langkah mudah menanam pokok jambu batu di dalam pasu berdasarkan hantaran di platform Facebook oleh Mark Are Leaft.
“Alhamdulillah, hasil tanaman sudah nak masak. Tanam di dalam pasu sahaja. Puas hati betul tanam macam ini. Rugilah siapa yang tak tanam. Sedapnya hujan-hujan makan jambu,” katanya.
Difahamkan, pokok yang ditanam oleh sumber ini merupakan hasil daripada tut iaitu proses mencantumkan tunas dari satu pokok kepada pokok lain yang sama jenisnya.
1. Mula-mula, jaga anak pokok seperti biasa sehingga menjadi tanaman yang subur.
2. Apabila pokok sudah stabil, boleh mula meletakkan baja dalam seminggu atau dua minggu sekali. Pembajaan ini penting untuk dijaga jika mahu pokok cepat berbuah.
3. Selepas sebulan tempoh pembajaan, bolehlah potong atau cantaskan dahan yang muda supaya pokok cepat berbuah.
4. Insya-Allah bunga akan keluar sekali bersama pucuk tidak lama selepas dahan itu dicantas.
5. Apabila pokok sudah berputik, terus bungkus buah ketika saiznya sebesar ibu jari lagi. Jangan lambat, nanti kecewa. Boleh dibungkus menggunakan plastik biasa sahaja.
6. Jangan lupa untuk menebuk lubang pada plastik supaya air hujan tidak bertakung. Kalau tidak, buah boleh menjadi buruk nanti.
“Inilah cara yang saya gunakan untuk menanam pokok jambu. Tanaman ini usianya baru mencecah setahun tetapi sudah empat kali berbuah.” Kongsi pemuda itu lagi.
Baca juga: Tak sangka sabun pencuci pinggan boleh padam kebakaran, tonton demo bomba ini jika nak tahu caranya