Penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar kenaikan gaji bermula pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Difahamkan, perincian mengenai mekanisme pelarasan yang diperkenalkan kerajaan itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.
Khabar gembira ini disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim ketika menjadi tetamu di dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV.
“Pada MAPPA 16 Ogos ini, kita menyediakan perkhidmatan kalau hendak kira berapa kenaikan akan berlaku pada gaji kita (penjawat awam). Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji baharu.
“Pada 1 Disember akan berlaku kenaikan gaji. Jadi hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji yang baharu,” kata Mohd Shaiful memetik laporan Bernama.
MAPPA ke-19 ini dijangka akan dilangsungkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada pukul 8 pagi.
Jelas Mohd Shaiful, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling mengenai sistem SSPA yang terpakai kepada perkhidmatan awam Persekutuan ini.
Selain kenaikan gaji, sistem yang merangkumi pembangunan organisasi dan bakat pegawai ini juga turut memberikan manfaat kepada penjawat awam bergelar pesara.
“Bagi penjawat awam negeri serta Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan, jika mereka menerima SSPA ini, maka ia menerima pakai semua sama seperti penjawat awam Persekutuan.
“Mengikut Akta Pencen, jika berlaku kenaikan gaji kepada pegawai (sedang) dalam perkhidmatan, pesara-pesara juga akan terkesan. Jadi, bermaksud mereka juga akan menerima kenaikan mengikut formula-formula yang ditetapkan,” jelasnya.
Berhubung pengenalan kaedah caruman baharu seperti dilaksanakan pihak swasta, Mohd Shaiful memaklumkan kerajaan memberi jaminan bahawa faedah yang bakal dinikmati penjawat awam tidak akan berkurang.
“Kerajaan tidak akan menanggung beban kewangan berterusan dan pegawai juga tidak menanggung kerugian. Faedah dinikmati pegawai akan sama, tidak kurang daripada orang yang dapat pencen. Akan ada caruman pekerja dan majikan.” Ujarnya.