Kecoh isu isteri dipaksa mandi dan tidur bersama madu, ini penjelasan Da’i Tajdid Hadhari

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini, hangat diperkatakan di media sosial tentang pendedahan dua wanita yang mendakwa dipaksa mandi dan tidur bersama oleh bekas suami mereka.

Pendedahan kedua-dua wanita yang pernah bergelar madu itu turut mencetuskan pelbagai persoalan terutama mengenai hukum perbuatan tersebut dari segi agama.

Sehubungan itu, personaliti radio Zayan iaitu Da’i Tajdid Hadhari atau mesra dikenali sebagai Ustaz Bola tampil memberikan pencerahan menerusi akaun TikTok miliknya.

Menurut Da’i Tajdid, perbuatan yang dinamakan sebagai mushaqah atau sihaq ini hukumnya adalah haram seperti telah dinyatakan di dalam hadis Riwayat At Tabrani.

“Apabila sebut tentang tidur bersama, bahkan dalam ‘bersama’ tersebut sebenarnya ia tidak boleh (dilakukan) hukumnya haram. Sebagaimana dalam hadis Riwayat At-Tabrani, perbuatan tersebut dinamakan mushaqah ataupun sihaq.

 “Nabi SAW bersabda, perbuatan sihaq ataupun melihat aurat sesama sendiri antara dua orang wanita itu hukumnya adalah zina. Bahkan dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain.

“Dan janganlah wanita melihat aurat wanita yang lain. Inikan pula mereka melakukan persetubuhan. Jadi kena jagalah. Tak boleh, hukumnya haram,” jelasnya menerusi hantaran video tersebut.

Dalam perkongsian sama, pengacara Tanyalah Ustaz itu turut berkongsi pendapat lain daripada Ibnu Qudamah yang menegaskan bahawa perbuatan tersebut tetap tidak dibenarkan walaupun dengan keredaan isteri.

“Pendapat ulama Ibnu Qudamah, sekalipun kedua isteri itu reda suami tidur bersama kedua mereka dalam satu selimut ataupun reda seorang daripada mereka berjimak, sedangkan satu lagi melihatnya itu tidak dibenarkan,

“Hal ini kerana perbuatan sedemikian merupakan lambang rendah akhlak, kehinaan dan menjatuhkan maruah. Maka tidak boleh (dilakukan) sekalipun kedua isterinya reda,

“Namun jika tidur dalam rumah yang sama tetapi bilik berbeza, maka dibolehkan dengan syarat saiz bilik itu (setiap isteri) sama.” Ulasnya lagi dalam hantaran yang berjaya meraih tontonan daripada 62,100 pengguna TikTok itu.

Baca juga: Pernah ditawar RM60k jadi ‘peneman’ VVIP, Sharifah Rose tolak sehabis baik, anggap ia mengarut