Siapa sangka hobi menanam pokok ros Jepun yang dimulakan kerana minat ‘main-main’ akhirnya memberi rezeki terpijak kepada seorang suri rumah di Besut Terengganu.
Lapor Kosmo!, suri rumah dikenali sebagai Hanisah Mohamad, 49, mempunyai pelbagai jenis pokok ros Jepun dengan 140 spesies sudah pun ditanam di halaman rumahnya.
Selepas dicadangkan anak-anak, Hanisah mula menjual keratan batang pokok ros tanamannya pada harga RM2 sebatang.
Diam tak diam, dia mampu meraih sehingga RM5,000 dalam tempoh hanya tiga minggu.
Dia mengakui tidak menjangka tanaman itu rupa-rupanya digemari ramai dan mendapat sambutan memberangsangkan dari peminat luar negeri.
“Saya bina taman mini untuk tanam 140 spesies ros Jepun seperti tiara, carnation, grandy dan jambul seluas 0.1 hektar di laman rumah kerana minat dengan kecantikan bunganya.
“Selepas itu, saya mula jual keratan batang pokok pada harga RM2 selepas dicadangkan anak-anak. Tak sangka ia menjadi hingga saya dapat RM5,000 dalam tempoh tiga minggu,” katanya memetik laporan Kosmo! semalam.
Menurut Hanisah, keratan pokok itu dibeli oleh pelanggan dari seluruh Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Selangor dan Johor.
Tambahnya, ramai meminati pokok itu kerana kecantikan bunganya yang berwarna-warni seperti merah, putih, kuning, ungu dan oren.
“Ia mudah ditanam kerana cepat membiak dan berkembang secara keratan batang. Bunganya makin subur bila terdedah kepada cahaya matahari,” katanya lagi.
Baca juga: Kecoh isu isteri dipaksa mandi dan tidur bersama madu, ini penjelasan Da’i Tajdid Hadhari