Imej terbaharu penyanyi, Aliff Aziz mengejutkan ramai pihak selepas tular video dan beberapa gambarnya berserban, dan dikatakan kini sedang aktif menyertai aktiviti keagamaan di masjid-masjid.
Ia selepas seorang pendakwah bebas, dikenali sebagai Ustaz Taufik memuat naik foto dan video bersama Aliff yang hadir ke majlis agama.
Perkara itu menjadi bahan bualan ramai dengan andaian mengatakan pelakon itu sudah kembali menyertai jemaah tabligh.
Menerusi beberapa perkongsian bersama pelantun lagu Sayang Sayang itu, Ustaz Taufik meminta orang ramai tidak mudah menghukum seseorang hanya kerana khilaf yang dilakukan pada masa lalu.
“Kalau kamu ada akal dan mata, kenapa kamu lihat dan hukum manusia hanya dengan telinga?
“Doakan yang baik-baik, fikirkan yang baik-baik dan mudah-mudahan pengakhirannya semuanya akan menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam masa sama, Ustaz Taufik berharap setiap hal yang dipelajari dalam majlis keagamaan tersebut menjadikan seseorang lebih baik kelak.
“Ulama beritahu, ‘hakikatnya di dunia ini tiada orang jahat sebenarnya tetapi mereka yang tersalah memilih suasana’.
“Mudah-mudahan suasana agama ketika keluar tiga hari ini akan menjadi medan tarbiah untuk kami islah diri dan belajar menjadi orang yang baik di sisi Allah SWT,” katanya.
Untuk rekod, Aliff atau nama penuhnya Mohammad Aliff Aziz pernah aktif bersama Jemaah tabligh sekitar tahun 2021.
Baca juga: Rupanya senang nak hilangkan bau hanyir ikan di tangan, tak perlu sental dengan sabun lagi!