Siapa sangka, seorang graduan universiti tempatan sudah berjaya memperoleh gaji mencecah RM11,000 hanya dalam tempoh sebulan selepas menamatkan pengajian.
Bukan sesuatu perkara mustahil, pengalaman itu dikongsi oleh gadis kelahiran Sabak Bernam yang diterima bekerja di sebuah syarikat antarabangsa (MNC) daripada Denmark.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, syarikat MNC tersebut kini bertapak di Singapura.
Gadis yang dikenali sebagai Wong Wei Jie itu turut tampil untuk berkongsi panduan khususnya kepada anak muda jika mahu mendapatkan pekerjaan dengan gaji idaman mereka.
Wei Jie memaklumkan bahawa selain ilmu, graduan perlu melengkapkan diri dengan kepakaran di dalam bidang tertentu dan soft skills (kemahiran insaniah) terutamanya kemahiran komunikasi.
Jelas gadis itu, kemahiran insaniah ini bukan sahaja boleh melancarkan urusan melibatkan pekerjaan malah pelajar juga dijamin akan mendapatkan jawatan tetap dengan segera.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Wei Jie juga mengakui bahawa penglibatannya di dalam kegiatan kokurikulum banyak membantunya untuk menguasai kemahiran yang diburu majikan ini.
“Dunia kerjaya memang sangat berbeza dengan situasi ketika menuntut ilmu di universiti daripada segi membina hubungan dengan kakitangan yang lain atau jaringan di antara jabatan.
“Namun penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini telah banyak mengajar saya menjadi lebih berdikari dan teratur daripada segi pengurusan masa dan juga organisasi.
“Apabila akademik cemerlang dan kokurikulum mantap, barulah dapat merasai keseronokan bergelar mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan sebanyak mungkin,” katanya dalam laporan itu.
Untuk rekod, Wei Jie telah menamatkan pengajiannya dengan memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama di UUM bersama purata nilai gred keseluruhan (PMK) 3.84.
Keputusan tersebut membenarkan Wei Jie menerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen UUM ke-35 yang dianjurkan pada Julai, tahun lalu.
Untung betul Wei Jie muda-muda sudah memperoleh gaji yang tinggi, langsung tidak kedekut ilmu pula itu!
Baca juga: Rupanya ada cara buat Lempeng jadi makanan sihat, ibu berpantang pun sesuai makan!