Penat asyik diperli dekat IG, Bella Astillah ‘bahasakan’ bekas mak mentua, “sehingga hari ini tiada kata maaf…”

Oleh KIM SYAZIE

Mungkin sudah penat sering disindir oleh seorang wanita yang pernah dianggap sebagai ibu sendiri, pelakon dan penyanyi Bella Astillah memohon agar bekas mentuanya berhenti perli memerli.

Dalam satu hantaran di Instagram, Bella menjelaskan dia tidak pernah menghalang bekas suaminya, Aliff Aziz daripada bertemu anak-anak sepanjang menjalani proses penceraian mereka sejak April lalu.

Walau bagaimanapun, hati Bella begitu kecewa selepas tularnya hantaran perbualan yang mendakwa Aliff dan Ruhainies cuba untuk menjatuhkan reputasinya.

“Saya ada mengeluarkan kenyataan bahawa tiada masalah untuk Aliff berjumpa anak-anak tetapi itu sebelum saya dapat tahu AA dan R merancang untuk menjatuhkan saya, mengutuk saya dan menyebarkan aib saya.

“Ingat saya ini tak ada perasaan? Bila saya baca semua perbualan mereka betapa hancurnya hati saya kerana ini adalah plot twist terbesar dalam hidup saya.

“Orang yang saya percaya, tahu luar dalam dan yang saya sayang selama 12 tahun dengan sekelip mata menjadi musuh dan menghina saya,” luahnya.

Pelakon berusia 30 tahun itu juga menitipkan pesanan kepada ibu mentuanya, mengingatkan wanita itu tentang layanannya terhadap Bella.

Bella mendakwa bekas ibu mentuanya bertindak menendang keluar dirinya daripada ‘group’ WhatsApp keluarga tanpa memberikan sebarang ruang kepadanya untuk membuat penjelasan.

“Kepada mak mertua saya, semasa kamu semua buang saya dari group WhatsApp keluarga begitu sahaja tanpa dengar penjelasan saya, bluetick saya, tanpa tanya khabar saya dan anak-anak, siap ‘unfollow’ saya.

“Selepas itu kamu boleh pula ‘follow’ perempuan yang sudah menjadi punca cucu kamu kehilangan bapa?

“Di manakah akal fikiran dan sifat keperimanusiaan kamu? Saya bersabar setiap hari. Kamu sindir saya setiap hari walaupun kamu cakap itu adalah posting general tapi rakyat Malaysia cukup bijak even mereka sendiri tahu itu semua untuk saya. Saya telan semuanya.

“Sehingga hari ini tiada kata maaf daripada anda sekeluarga, perli saya dengan membuat video-video sarkastik melalui media sosial tentang kereta dan sebagainya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pemilik nama Dayang Ara Nabellah Awang Astillah meminta jasa baik keluarga Aliff untuk memberikan sedikit ruang dan masa buat dirinya dan anak-anak bagi merawat hati yang terluka.

Tegas Bella, keputusan yang diambil tidak akan membuatkan kedua anaknya lupa akan bapa mereka dan dia juga masih tahu mengenai hukum hakam agama.

Baca juga: Tak puas hati isteri minta cerai, bapa durjana tergamak rakam aksi dera anak umur 1 tahun