Amal minum air cuci kaki ibu, atlet Olimpik rangkul emas pertama bagi acara angkat berat

Oleh MALAYSIADATELINE

Siapa sangka air basuhan kaki ibu menjadi rahsia atlet angkat berat Indonesia, Rizki Juniansyah dalam merangkul pingat emas di dalam acara angkat berat kategori 73 kilogram (kg) di Sukan Olimpik Paris.

Pada aksi final yang berlangsung di Expo Porte de, Versailles, Paris itu, Rizki berjaya melakukan angkatan 354 kg secara keseluruhan meliputi acara ‘snatch‘ 155 kg dan ‘clean and jerk‘ sebanyak 199 kg.

Tidak hanya mengharumkan nama negaranya, Rizki juga menjadi atlet angkat berat Indonesia pertama yang meraih pingat emas di Sukan Olimpik selain turut mencatat rekod dalam kejohanan itu dengan angkatannya dalam acara ‘clean and jerk‘.

Menurut Rizki, pencapaiannya di dalam sukan angkat berat ini dibantu dengan satu kebiasaan yang diamalkannya sebelum menyertai kejohanan iaitu meminum air basuhan kaki ibunya, lapor Kumparan.

“Kehadiran keluarga dan ibu itu adalah bentuk sokongan nombor satu. Saya ada di dalam rahim mama, mama adalah yang terbaik. Setiap kali saya cium dan cuci kaki mama serta meminumnya, Alhamdulillah selalu berkat,” katanya memetik laporan Kumparan.

Hubungan erat yang terjalin antara Rizki dan ibunya itu bukanlah satu rahsia di mana wanita berkenaan turut hadir untuk menyaksikan pertandingan anaknya di Paris.

Sekadar info, ibu Rizki iaitu Yeni Rohaeni juga adalah atlet angkat berat dan ayahnya, Mohammad Yasin pula merupakan salah seorang bekas atlet kebangsaan dalam acara sama.

Terdahulu, atlet yang berusia 21 tahun itu berjaya mengangkat bebanan 155 kg pada percubaan kedua bagi acara snatch namun gagal mengangkat bebanan 162 kg dalam percubaan ketiga.

Namun untuk acara Clean & Jerk pula, Rizki berhasil mengangkat bebanan 191 kg di kesempatan pertama sebelum mengangkat 199 kg pada kesempatan kedua sekali gus memecah rekod kejohanan Olimpik.

Rekod dicipta itu menobatkan Rizki sebagai pemenang pingat emas, manakala perak dirangkul oleh Weeraphon Wichuma dari Thailand dengan jumlah angkatan 346 kg dan atlet Bulgaria, Bozhidar Andreev (344 kg) pula membawa pulang pingat gangsa.

Baca juga: Kenapa pemenang pingat Perak dan Gangsa pun ikut gigit pingat? Ini sebabnya