Kalau terjumpa emas, tidak kiralah di mana ia pastinya ada manusia yang akan gelap mata sedikit untuk mengambil dan menyimpannya.
Namun tidak bagipemuda berusia 29 tahun ini yang memilih untuk bersikap jujur akan penemuan gelang emas seberat 19.53 gram.
Muhamad Sukri Sulaiman memaklumkan gelang emas tersebut mungkin dimiliki penguhuni rumah terdahulu lapor Sinar Harian.
“Saya baru saja beli rumah ini, memang rumah lama. Banyak kerosakan terutamanya di bahagian tangki kerana tersumbat.
“Jadi, saya mula melakukan kerja pembersihan sendiri dan hari ini merupakan hari ke empat. Ketika saya sedang mencangkul najis dalam tangki, saya ternampak emas.
“Saya yakin itu emas sebab warnanya tidak luntur dan apabila sudah dibasuh tertera nombor 916 pada gelang tersebut.
“Tanpa berfikir panjang terus saya muat naik di Facebook untuk mencari pemiliknya,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Sukri yang juga pencipta kandungan itu memaklumkan pemilik barang kemas itu sudah menghubunginya.
Lebih mengejutkan, pemilik tersebut mendakwa emas tersebut hilang 20 tahun lepas semasa mereka masih mendiami rumah berkenaan.
“Kalau saya tak jumpa siapa pemiliknya pun, saya tak akan ambil. Saya mungkin akan serahkan kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Tapi sebelum itu, saya akan manfaatkan kelebihan yang ada iaitu menguar-uarkan di Facebook terlebih dahulu memandangkan jumlah pengikut saya agak tinggi.
“Jadi dari situ, mungkin orang ramai boleh bantu sebarkan sehingga jumpa pemilik asal gelang itu,” jelasnya.
Baginya, meskipun barangan tersebut mempunyai nilai yang tinggi, dia tidak akan pernah simpan untuk kegunaan sendiri.
“Jadi tidak perlu untuk kita ambil barang yang bukan hak kita, walaupun orang tak nampak tapi ALLAH nampak.
“Tambahan pula, kalau saya ambil gelang itu, saya hanya untung sekejap sahaja di dunia dan akan terima balasan di akhirat,” ujar Sukri.
Baca juga: Menang loteri RM23.3 juta, warga emas pilih untuk bahagi duit antara anak-anak