Khas untuk Faisal Halim sahaja, penyelidik UM dedah ambil masa seminggu siapkan topeng hitam ‘adiwira’

Oleh KIM SYAZIE

Kehadiran pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim yang mengenakan topeng hitam seperti adiwira Sabtu lepas mencuri tumpuan ramai.

Apa yang ramai tak tahu, topeng muka itu bukanlah seperti topeng yang biasa dilihat, sebaliknya ia adalah rekaan khas oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM).

Topeng itu adalah hasil kajian melalui BioApps Sdn Bhd berdasarkan nasihat daripada Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

“Penghasilan topeng muka khas ini adalah satu strategi utama UM untuk memasyarakatkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan universiti,” kata salah seorang penyelidik, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman.

Lapor Sinar Harian, topeng itu berjaya disiapkan dalam tempoh seminggu oleh BioApps Sdn Bhd setelah menerima rekomendasi daripada pakar perubatan pemulihan kecederaan sukan.

Menurut Pakar Prostetik dan Ortotik BioApps Sdn Bhd, Muhammad Hazim Kamaruzaman, topeng tersebut diperbuat daripada bahan carbon fibre yang lebih ringan dan nipis supaya memberi keselesaan kepada Faisal untuk kembali beraksi di padang selain melindungi saraf dan luka pemain itu yang masih belum pulih.

“Topeng muka khas tersebut telah dihasilkan berdasarkan kondisi parut muka yang agak serius dan telah melalui beberapa peringkat pengukuran dan pengujian tahap keselesaan sebelum penghasilan peringkat akhir,” katanya.

Baca juga: Baru tahu ada cara buat patti versi ‘sihat’, boleh makan burger tanpa rasa bersalah!