Harapan terakhir negara untuk menambah pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terbabit dengan kemalangan dihujung perlumbaan.
Dalam acara final keirin lelaki yang berlangsung pada Ahad (semalam) di Velodrom Nasional Perancis itu, Shah Firdaus dilanggar oleh pelumba Jepun iaitu Shinji Nakano yang mengakibatkannya dan pelumba Great Britain, Jack Carlin terjatuh.
Kemalangan tersebut sekali gus menghancurkan peluang Shah Firdaus untuk meraih pingat gangsa berikutan pelumba berusia 28 tahun itu berada di kedudukan ketiga ketika perlumbaan memasuki lebih kurang 25 meter terakhir.
Terkesan dengan kejadian itu, netizen Malaysia malah bertindak ‘menyerang’ akaun media sosial milik Shinji Nakano susulan tularnya rakaman memaparkan kemalangan tersebut pada hari yang sama insiden berlaku.
Adik kepada Shah Firdaus iaitu Ridwan Sahrom bagaimanapun merasa kesal dengan tindakan pengguna media sosial tempatan yang ‘menghentam’ pelumba Jepun berkenaan di platform Instagram.
Berharap rakyat Malaysia kekal tenang, Ridwan Sahrom menerusi satu hantaran di platform sama turut memohon supaya netizen menghentikan serangan yang berbaur buli siber ini ke atas atlet terbabit.
“Kepada semua peminat sukan Malaysia, tolong jangan serang negara lain yang turut terlibat dalam kemalangan pada acara final keirin Sukan Olimpik melibatkan Shah dan pelumba Jepun.
“Di dalam perlumbaan Keirin, segala-galanya boleh berlaku. Jadi kita tidak boleh menyalahkan atau menghakimi apa yang telah berlaku, sama ada ia kemalangan atau tidak.
“Tolong kekal tenang dan jangan serang atau komen apa-apa yang buruk dalam akaun media sosial milik pelumba Jepun itu. Terima kasih,” kata Ridwan Sahrom menerusi hantaran tersebut.
Terdahulu, Shah Firdaus dalam satu kenyataan turut meminta semua pihak supaya tidak mengecam Nakano di media sosialnya kerana pelumba itu tidak melanggarnya dengan sengaja.
Perlumbaan final itu dimenangi oleh atlet Belanda, Harrie Lavreysen manakala pingat perak menjadi milik pelumba Australia, Matthew Richardson dan rakan senegaranya, Matthew Glaetzer pula membawa pulang gangsa.
Malaysia menamatkan kempen Olimpik Paris dengan dua gangsa dalam acara badminton masing-masing menerusi perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik.