Seorang wanita tidak pernah menyangka hidupnya bakal diuji dengan sikap keluarga mentua selepas mendirikan rumah tangga dengan saudaranya sendiri.
Lebih memburukkan keadaan, hubungan wanita terbabit dengan keluarga mentuanya semakin dingin akibat salah faham yang dipercayai timbul berpunca dari api cemburu.
Nekad mempertahankan haknya, berikut perkongsian sang isteri yang menyedari dirinya tetaplah orang luar selepas masuk ke dalam keluarga saudaranya sebagai menantu.
“Selepas lima tahun usia perkahwinan ini, barulah aku diduga dengan sikap keluarga mentua. Sejujurnya keluarga mentua dan keluarga aku ada sedikit tali persaudaraan. Senang cerita, keluarga kami jenis kahwin dengan sepupu. Masalah bermula apabila keluarga mentua tak puas hati. Cemburu aku bawa keluarga sendiri berjalan.
“Tak mungkinlah aku nak angkut semua keluarga mentua. Nanti semua perbelanjaan terletak atas bahu suami. Lainlah dengan keluarga aku sebab kami akan menabung kalau nak berjalan atau makan sedap-sedap. Setiap bulan, kami akan masukkan duit ke dalam tabung itu. Jadi tak terbebanlah kalau nak berjalan.
“Suami aku hanya ada dua beradik sahaja, dia yang bongsu. Setiap kali kami jalan-jalan, mentua aku mesti suruh suami ajak keluarga kakak dia sekali. Kalau sekali dua jalan ramai-ramai tak mengapalah. Tetapi kalau setiap kali bercuti kena bawa semua anak-beranak dia sekali, macam melampaulah pula.
“Kalau aku cakap hanya nak berjalan dengan keluarga kecil kami sahaja, mesti belah sana akan terasa. Cakap aku sombong pula itu. Kakak ipar aku pun satu, tak pandai ke nak berjalan dengan keluarga sendiri. Nak juga berjalan secara berjemaah. Aku ini sudahlah ada anak kecil. Tak suka menunggu atau buat orang tertunggu.
“Pernahlah sekali masa kami bercuti ramai-ramai ke Cameron Highland, anak kakak ipar demam. Aku cakap, berehat sahajalah dekat bilik. Biarlah aku, suami dan anak-anak yang berjalan. Sanggup pula mak mentua cakap kami ini pentingkan diri sendiri. Aku tak kira, sudah datang jauh dengan jalan sesak berbatu-batu.
“Tak akan nak biarkan anak aku berkurung dalam bilik hanya disebabkan anak kakak ipar yang tak sihat. Apa pula fungsi suami kepada kakak ipar aku itu. Dia yang patut bawa anak-anak lain berjalan. Biarlah kakak ipar duduk bilik dan jaga anak dia yang demam itu. Selepas itu ada kejadian masa Hari Raya yang lalu.
“Pagi hari raya pertama, bapa mentua suruh aku nasihatkan mak sendiri agar jangan ambil alih tanggungjawab anak lelaki kepada pak long. Untuk makluman, pak long ini abang kepada mak aku. Selepas itu bapa mentua siap cakap, jangan aku pula terasa hati. Adakah patut dia bertindak macam itu?
“Suami aku sempatlah menyelit, beritahu bapanya yang tak elok cakap macam itu di pagi Hari Raya. Sudah keluarga mentua cakap kami ini tak boleh ditegur pula. Biarlah mak aku jaga abangnya yang tak boleh berjalan itu. Tergamak bapa mertua cakap mak aku adalah seorang yang gagal. Berdesinglah telinga aku.
“Salah ke tindakan mak aku? Sekurangnya, ringan sedikitlah beban pak long aku itu. Kenapa bapa mentua nak menghakimi tindakan orang lain? Sedangkan mak aku tak minta kudrat atau simpati dia pun. Bayangkan, aku sudah rancang nak bergambar di pagi raya dengan keluarga kecil kami. Terus tak jadi, tak kuasalah aku.
“Hari Raya Aidiladha baru-baru ini pula, aku rancang nak mengadakan akikah untuk anak kami. Boleh buat majlis kesyukuran sedikit sekali dengan doa selamat adik aku yang nak berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah. Sudah, mentua pula persoalkan kenapa buat di rumah keluarga aku, bukan kediaman dia.
“Asyik tanya kenapa, kenapa dan kenapa. Selepas itu mentua aku merajuk pula. Siap cakap sesiapa yang balik nanti, belilah daging dan masak rendang sendiri. Katanya, sudah penat layankan kerenah orang. Tetapi menantu dia ini, tak boleh dicabar. Aku balik juga rumah dia pada waktu malam selepas kenduri doa selamat.
“Kenduri itu di sebelah siang, nasib baik ada adik-beradik aku bantu. Rumah mentua dengan kediaman keluarga aku ini, selang sekampung sahaja. Naik kereta, 10 minit sudah sampai. Esoknya, sesudah subuh aku sudah mula masak. Rebus daging, nasi lemak untuk sarapan, rendang ayam dan nasi impit.
“Sengaja aku henyak lesung batu kuat-kuat supaya keluarga mentua tahu aku dekat dapur. Aku nak mereka tahu menantu ini bukan orang yang boleh dibodoh-bodohkan. Masa itu sudah tak fikir letih atau sakit kaki. Cuma nak beritahu, menantu mereka ini ada akal dan perasaan juga. Bukan jenis yang pendam dalam hati.
“Aku rasa sebagai menantu, kita juga ada hak untuk pertahankan diri. Walaupun kita tetaplah orang luar sampai bila-bila. Kepada menantu perempuan di luar sana, tetap semangat. Kuatkanlah diri demi anak-anak walau macam mana pun pancarobanya.” Kongsi wanita itu menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Aku pelik kenapa suami macam ‘hamba’ kat rumah mentua, jawapan dia buat aku menangis…”