Keadaan di sebuah pusat beli belah menjadi huru-hara selepas seorang pengunjung bertindak terjun daripada tingkat tiga bangunan berkenaan pada Jumaat lalu.
Difahamkan, remaja berusia 17 tahun itu tiba-tiba sahaja terjun selepas menunaikan solat Jumaat bersama gurunya di sebuah surau terletak di dalam bangunan tersebut.
Remaja lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan malah masih mampu berkomunikasi seperti biasa selepas terjatuh dari tempat yang tinggi.
Rupa-rupanya selepas terjunan dibuat, tubuh remaja itu mendarat di atas katil jenis spring berkualiti tinggi yang dipamerkan di tengah ruangan legar pusat beli belah.
Ketua Polis Banjarsari, Kompol Parjono memaklumkan kejadian itu berlaku sekitar 12.30 tengah hari di pusat beli belah Solo Paragon, Jawa Tengah, Indonesia, lapor Detik.com.
“Berdasarkan maklumat daripada gurunya, remaja itu menghidap gangguan jiwa iaitu bipolar. Dia bergantung kepada ubat. Ketika kejadian, remaja itu terlewat minum ubat jadi tak mampu kawal simptom penyakitnya,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Solo Paragon Mall iaitu Veronica Lahji menjelaskan bahawa mangsa mungkin selamat kerana mendarat atas katil berkualiti tinggi.
Remaja berkenaan juga berada di dalam keadaan sedar dan boleh berkomunikasi sebelum dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
“Remaja itu mengidap bipolar. Nasib baik ada katil yang harganya agak mahal juga. Jadi banyak membantu menyelamatkan nyawa mangsa. Dia tidak meninggal dunia.
“Malah ketika kejadian, masih boleh berkomunikasi. Keluarga remaja terbabit juga sudah dihubungi. Kebetulan ada gurunya juga sebab mangsa masih bersekolah.” Ujar Veronica.