Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom merasa kesal dengan tindakan netizen menyerang akaun media sosial milik pelumba Jepun yang didakwa melanggarnya ketika perlumbaan final acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sesuatu yang memalukan negara, Shah Firdaus turut mendedahkan bahawa dirinya bersahabat baik dengan pelumba Jepun dikenali sebagai Shinji Nakano itu.
Oleh yang demikian, atlet berusia 28 tahun itu berharap agar pengguna media sosial tempatan berhenti menyerang akaun Shinji Nakano kerana khuatir perkara itu akan menjejaskan persahabatan mereka, lapor Berita Harian.
“Malam semalam (kelmarin) dia mesej saya. Dia kata kena serang (di akaun media sosialnya). Saya pun tak tahu tetapi apabila tengok, sudah berpuluh ribu komen. Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga.
“Perkara (perlanggaran) itu memang berlaku, ada ‘body contact‘ dan itu biasa dalam perlumbaan keirin. Sebenarnya, dia tak berniat nak ‘hentam’ saya. Itu disebabkan oleh ‘G-force‘.
“Apabila ada ‘body contact‘, ‘G-force‘ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” kata Shah Firdaus memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, Shah Firdaus dilanggar oleh Shinji Nakano yang mengakibatkannya dan pelumba Great Britain, Jack Carlin terjatuh ketika beraksi dalam acara final keirin lelaki pada Ahad lalu di Velodrom Nasional Perancis.
Kemalangan tersebut sekali gus menghancurkan peluang Shah Firdaus untuk meraih pingat gangsa berikutan pelumba negara itu berada dalam kedudukan ketiga ketika perlumbaan memasuki lebih kurang 25 meter terakhir.
Terkesan dengan kejadian itu, netizen Malaysia malah bertindak ‘menyerang’ akaun media sosial pelumba Jepun terbabit susulan tularnya rakaman memaparkan kemalangan tersebut pada hari yang sama insiden berlaku.
Mengulas lanjut, atlet yang berasal dari Muar, Johor itu turut mengesahkan bahawa permohonan maaf yang kononnya datang daripada akaun TikTok milik Shinji Nakano adalah palsu.
“Itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap perkara itu dengan saya. Kami ada berjumpa selepas perlumbaan. (Akaun) TikTok itu biasalah, orang buat cerita. Tetapi saya dengan dia baik-baik sahaja, tak ada masalah.
“Keirin memang biasa, ada body contact apa semua. Cuma mungkin daripada mata penonton macam dia sengaja. Tetapi memanglah, semua orang nak menang jadi tak ada dendam apa-apa. Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik.
“Sebabnya saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan-jalan semua. Apabila dia berasa begitu, saya rasa serba salahlah. Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik. Saya macam malunya.” Ulas Shah Firdaus.
Baca juga: “Tolong kekal tenang”, adik Shah Firdaus gesa netizen henti serang pelumba Jepun di media sosial