B40 selera kondo, penghuni flat selamba ‘extend’ rumah jadi tiga tingkat, siap tambah balkoni mewah

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang penghuni flat yang mengubah suai kediaman kos rendah itu dengan menambah sehingga dua lagi tingkat di atas rumahnya, mengundang kecaman ramai.

Rumah yang dijumpai netizen itu dipercayai terletak sekitar Setiawangsa, di blok Kelumpuk Kemunting A.

Dari gambar yang dikongsi laman Facebook Sukan Star TV, kediaman tersebut telah ditambah binaan haram sehingga dari jauh terlihat seperti sebuah rumah teres tiga tingkat.

Tindakan itu dianggap melampau apatah lagi ia menambah binaan haram sehingga tiga tingkat, pakej dengan balkoni kaca.

“B40 selera T20. terus ‘extend’ 3 tingkat,” tulis hantaran tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pembinaan tambahan itu mendapat kelulusan pihak berkuasa atau pun tidak.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menyelar tindakan pentingkan diri pemilik rumah itu.

Mereka tertanya bagaimana pengubahsuaian haram itu boleh terlepas dari pandangan pihak berkuasa.

“Peliknya macam mana boleh terlepas. Pengkuatkuas tidur ke,” kata Mutmainnah.

““Orang yang duduk landed (rumah atas tanah) sebiji pun fikir beribu kali nak extend (tambah) walau tanah sendiri ukur dan buat perkiraan betul-betul takut jiran tak selesa.

“Usahkan termasuk dalam tanah jiran, walau terhalang cahaya, laluan angin, air hujan, semua itu diambil kira di akhirat,” tulis Ashraf pula.

“Jenis pentingkan diri sendiri orang macam ni. Tahulah duit dia, tapi kena adil lah hidup berjiran, bila orang tegur tuan rumah di katanya dengki,” kata Long Hasief pula.

Sekadar info, tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan mengikut Akta 133 dan Akta 757 bakal mendatangkan pelbagai risiko dan masalah kepada penduduk setempat.

Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.

Baca juga: Lipas banyak sangat dalam kabinet? Letak ‘4 sekawan’ confirm hilang habis!