Pemain bola acu kerambit rupanya dalam senarai ‘wanted’, terbabit kes baling bom petrol

Oleh MALAYSIADATELINE

Pemain bola sepak amatur yang mengacukan objek tajam ketika perlawanan di KLFA Football Centre baru-baru ini rupanya sudah berada di dalam senarai dikehendaki.

Hal ini berikutan lelaki berusia 22 tahun itu disahkan sebagai suspek dalam kejadian kebakaran di sebuah pusat hiburan di ibu kota akibat dibaling bom petrol atau ‘molotov cocktail’.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pengesahan itu dilakukan berdasarkan keterangan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian yang berlaku pada Mei lalu dan soal siasat ke atas suspek.

Oleh yang demikian, pemain bola yang turut memiliki rekod jenayah lampau itu akan dibawa ke mahkamah esok untuk menghadapi beberapa pertuduhan ke atasnya, lapor Berita Harian.

Suspek difahamkan akan dituduh masing-masing mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan Senjata Berbahaya, Seksyen 336 (perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan orang lain) dan Seksyen 435 perbuatan khianat dengan api.

“Suspek berada di dalam senarai dikehendaki dan kalau kita ingat ada kes baling molotov cocktail di hadapan sebuah pusat hiburan (ibu negara), inilah orangnya.

“Suspek juga ada rekod jenayah lampau sebelum ini,” katanya yang turut mendedahkan rekod jenayah lampau pemain bola berkenaan iaitu merusuh dan membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan.

Pemain terbabit sebelum ini ditahan bersama teman wanitanya yang berusia 21 tahun untuk membantu siasatan selepas mengacukan objek dipercayai kerambit dalam perselisihan faham ketika perlawanan bola sepak pada 4 Ogos lalu.

Insiden yang berlaku kira-kira pada jam 12.30 tengah malam itu mulanya didedahkan menerusi satu hantaran tular di platform media sosial melibatkan seorang pemain bola yang memakai jersi bernombor 7 dari sebuah pasukan amatur.

Terdahulu, sekumpulan individu dilaporkan telah bertindak membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan hingga menyebabkan kebakaran dalam kejadian pada 9 Mei lalu di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.

Video insiden itu turut tular di platform media sosial di mana rakaman CCTV sebelum kebakaran berlaku memaparkan empat individu menaiki motosikal di hadapan pusat hiburan terbabit.

Satu lagi rakaman video yang berdurasi 42 saat pula menunjukkan premis tersebut terbakar sebelum orang awam datang untuk membantu memadamkan kebakaran.

Baca juga: Netizen jumpa Instagram pemain bola bawa kerambit atas padang, semua pakat ‘berkampung’