Orang ramai pasti masih ingat akan peristiwa kehilangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur Maisarah Sameaun yang sesat di Gunung Tahan pada tahun 2008.
Walaupun sudah 16 tahun berlalu, pengalaman antara hidup dan mati ketika tersesat dalam hutan selama 19 hari selepas mengikuti ekspedisi ke puncak gunung itu masih turut kekal di ingatan Nur Maisarah.
Malah laporan kehilangan individu lain dalam hutan akan terus menggamit kenangan wanita berusia 37 tahun itu yang membuatnya teringat perjuangan di hutan seorang diri tanpa makanan dan hanya bergantung dengan air sungai.
Sehingga ke hari ini, Nur Maisarah mensyukuri nikmat dan peluang yang diberi Allah SWT untuk meneruskan kehidupan biarpun menempuh cabaran disifatkannya detik paling menakutkan sepanjang 19 hari kehilangannya, lapor Harian Metro.
“Selepas kes saya, ada seorang lelaki dilaporkan hilang di Gunung Yong Yap namun masih belum ditemukan sehingga kini. Ada juga beberapa kes lain seperti kehilangan Mohammad Asyraf Hassan (berusia 29 tahun) atau Acap lima tahun lalu serta terbaru seorang anggota tentera yang dilaporkan hilang di hutan di Sarawak.
“Semua itu mengamit memori saya meskipun kisahnya tidak sama. Tetapi sebagai orang yang pernah melalui situasi itu ia memang memberi kesan, membuatkan saya kembali mengenang cerita lama yang menjadi kenangan tidak akan dilupakan.
“Ia sangat mendebarkan terutama apabila waktu malam tetapi saya bersyukur tidak pernah terserempak haiwan berbisa atau buas serta kejadian mistik sepanjang tempoh itu,” kata Nur Maisarah memetik laporan Harian Metro.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, punca kehilangannya adalah tersalah arah sebelum gagal menemui jalan ke lokasi rakan lain selepas berjalan ke tempat yang terlihat indah sebelum tiba di puncak.
Menurut Nur Maisarah, kejadian berlaku ketika dirinya masih menuntut UiTM Arau, Perlis dan aktiviti tersebut turut disertai oleh 36 penuntut bersama dua orang guru pengiring serta tiga pemandu arah.
“Ketika itu kami sudah mahu pulang dan bersiap untuk turun ke bawah. Saya ada masa terluang sedikit selepas selesai membantu enam rakan mengemas barang untuk turun terlebih dahulu, manakala rakan lain buat urusan masing-masing.
“Saya fikir lokasi itu tidak jauh dan orang di puncak masih boleh melihat keadaan di bawah. Ketika itu, saya fikir khemah boleh menjadi penanda arah. Jadinya tidaklah bimbang sangat. Cuma apabila saya tersalah jalan dan melihat sudah tiada khemah kerana sudah dikemas, ia buatkan saya panik.
“Saya pula terus berjalan hingga terus tersalah arah dan masuk ke kawasan hutan lebih tebal. Ketika itu memang panik tetapi saya cuba kawal diri dan sentiasa berfikiran positif yang saya akan ditemui dan diselamatkan,” jelasnya yang ketika itu membawa beg sandang milik rakan.
Dalam beg sandang tersebut, hanya ada makanan segera dan satu paket coklat ‘choki-choki’ namun Nur Maisarah memilih untuk tidak memakannya kerana menjadikan ia sebagai bekalan ketika darurat, manakala coklat disimpan di poket seluarnya.
Walau bagaimanapun, beg sandang tersebut hilang tidak lama kemudian hingga membuatkan Nur Maisarah hanya bergantung kepada coklat selama tiga hari lalu minum air sungai pada hari berikutnya sebelum menemui pendaki lain.
“Saya jerit panggil nama kawan tetapi tiada balasan. Lalu saya ambil keputusan tinggal barang dalam beg seperti tuala bagi dijadikan petanda kepada orang yang mencari. Tetapi beg itu hilang buatkan saya hanya makan choki-choki selama tiga hari. Selebihnya hanya bergantung dengan air sungai sahaja.
“Saya masih positif selama seminggu dan tetap fikir orang akan menemui saya tidak lama lagi. Setiap kali lapar, saya akan bayangkan makanan kegemaran ketika minum air sungai. Masuk minggu kedua, semangat saya sudah mula berkurang. Malah, saya hampir lemas selepas tergelincir. Nasib baik dapat berpijak pada batu.
“Selepas tenang dan imbangkan badan, saya berpautlah pada tebing. Namun cermin mata saya pula sudah hilang ketika itu. Saya berehat selama lima hari. Selepas itu, mula berjalan lagi sebelum akhirnya berjaya menemui trek jalan yang membawa saya ke kem yang ada pendaki lain,” ulasnya.
Nur Maisarah yang kini menetap di Pasir Gudang, Johor itu mendedahkan bahawa dirinya pernah terfikir untuk Allah menarik sahaja nyawanya terutama ketika hampir lemas.
Namun dirinya menyedari bahawa semua yang berlaku itu membuatkannya berfikir tentang peluang diberikan Allah untuknya terus bertahan adalah supaya tidak terus berputus asa.
“Semua yang berlaku adalah bukti kekuasaan Allah dan pernah terfikir adakah saya masuk ke alam ghaib. Tetapi saya tidak pula nampak atau mendengar suara sesiapa. Setiap hari saya akan azan ketika mula berjalan, baca surah yang diingati dan berdoa serta solat mengikut waktu.” Kongsinya.
Baca juga: “Siapakah kamu untuk sebarkan ketidakpastian tentang pemergian abang saya?” – adik Nidza Afham