Peniaga jual nasi lemak bujang RM10 undang persoalan, netizen anggap ‘owner’ tak pernah makan nasi bajet

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah restoran di Petaling Jaya menarik perhatian ramai selepas tular video pemiliknya membuat promosi nasi lemak bujang dengan harga yang agak mengejutkan.

Nasi bujang ini amat sinonim dengan para pelajar yang berjimat cermat. Kebiasaannya ia dijual pada harga mampu milik di bawah RM3.

Namun baru-baru ini, sebuah restoran menjadi topik perbincangan pengguna media sosial kerana menawarkan nasi lemak bujang pada harga RM10.

Dalam video yang tular di aplikasi X, pemilik kedai menunjukkan lauk-pauk untuk nasi lemak bujang.

Antaranya telur rebus separuh, telur mata sebiji, daging seketul, sotong kecil seekor, petai sebutir dan paru seketul.

“Nasi lemak bujang, bila tengah bulan, tak ada duit, dekat Nasi Lemak Limoka ini kita ada sediakan nasi lemak bujang untuk korang. 

“Dapat telur rebus separuh dan juga telur goreng. Haa ini orang-orang bujang suka makan telur bila tengah bulan kan. 

“Tapi jangan risau, kita bagi juga sambal, daging seketul, petai seulas, paru seketul. Macam ni sahaja, hanya RM10. Sangat-sangat murah,” kata pemilik itu.

Bagaimanapun video tersebut mengundang pertikaian ramai dengan ada yang mengatakan pemilik restoran tersebut tidak pernah makan nasi bujang.

Mereka berkata, lebih baik makan di restoran nasi kandar yang pastinya lebih kenyang dan kuantiti juga banyak.

“Nasi lemak bujang RM10. Aku sangka baik je yang owner ni tak pernah makan nasi bujang yang sebenar,” kata seorang pengguna X yang memuat naik semula video tersebut.

“Jangan risau kita bagi sambal? Dia cakap seolah-olah sambal tu dia baik hati kasi. sedangkan minimum nasi lemak memang nasi+sambal,” komen yang lain pula.

“Nasi briyani ayam + telur rebus + timun jelata baru RM9.20. hangpa mai tengah bulan ka awai bulan ka sama ja. Nasi Kandar Boss Batu Kawan,” kata individu lain pula.

Sementara itu hasil pemerhatian Malaysia Dateline ke akaun TikTok Nasi Lemak Limoka, difahamkan pemilik tersebut telah pun membuat perubahan pada makanan tersebut.

Pemilik itu kini menawarkan Nasi Lemak Rahmah pada harga RM5.

Baca juga: Risau mesin basuh rosak? Ini tip nak jaga, jangka hayat pun bertambah, nombor 3 jarang orang buat