Syamsul Yusof, Ira Kazar didakwa bakal bercerai, terkejut dengar respon Yusof Haslam

Oleh KIM SYAZIE

Nama pengarah muda, Syamsul Yusof dan Ira Kazar pernah menimbulkan kontroversi hangat selepas tersebar kisah perkahwinan secara ‘senyap-senyap’ antara mereka berdua.

Namun, belum pun memasuki dua tahun usia perkahwinan, kedua-dua pasangan itu dilaporkan bakal bercerai.

Khabar angin mengenai keretakan rumah tangga mereka sebenarnya sudah bertiup kencang pada Oktober tahun lalu namun kedua-duanya tidak memberi sebarang kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Menurut laporan mStar, peguam Syarie yang mewakili Syamsul telah mengesahkan bahawa anak guamnya telah memfailkan cerai terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.

Difahamkan, perceraian tersebut dilakukan selepas dikatakan tidak ada lagi persefahaman antara mereka.

“Sudah tidak ada persefahaman dalam perkahwinan mereka,” kata peguam Syamsul seperti dilapor.

Bagaimanapun apa yang lebih mengejutkan, Kosmo! Online melaporkan bahawa Datuk Yusof Haslam iaitu bapa kepada Syamsul tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan baru sahaja tahu ketika dihubungi wartawan.

Yusof Haslam juga membuat pendedahan bahawa dia dan anak sulungnya sudah terputus hubungan hampir lima tahun.

“Memang saya baru tahu pasal (permohonan cerai) ini daripada awak. Kalau awak tak maklumkan saya langsung tak perasan.

“Syamsul dah lama tak hubungi kami apatah lagi balik ke rumah ini. Jadi, untuk saya komen hal ini macam tak kena pula sebab saya dan ibu Syamsul tak dapat perkhabaran apa-apa.

“Sama ada benar atau tidak Syamsul failkan perceraian terhadap isterinya, lebih baik tanya tuan punya diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.

Terdahulu, Syamsul dan Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.

Syamsul pernah berkahwin dengan Puteri Sarah namun perkahwinan sembilan tahun itu berakhir selepas Puteri Sarah memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.

Baca juga: Modal tak sampai RM5 tapi boleh dapat 3 botol kecil sos Thai! Ikuti tip ni, ‘confirm’ menjadi