Seorang wanita mula merasa susah hati apabila sang suami mahu memperkenalkan rakan sekerja wanitanya sebagai calon isteri buat adik iparnya.
Enggan berfikiran negatif, wanita itu bagaimanapun curiga melihat sikap suaminya yang begitu bersungguh mahu menjadikan rakan sekerjanya sebagai ahli keluarga.
Berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Maya yang mula rasa cemburu apabila suaminya kerap bercerita tentang kelebihan wanita lain tanpa fikirkan perasaannya.
“Assalamualaikum pembaca yang budiman. Hati rasa tak tenang, sebab itu saya luahkan di sini. Ceritanya bermula apabila mak mentua saya minta suami carikan calon isteri untuk adik lelakinya. Yang lain semua sudah berkahwin kecuali dia. Adik ipar normal, bukan homoseksual pada pengamatan saya.
“Rasa kasihan ketika keluar beramai-ramai. Adik ipar lelaki itu seorang sahajalah yang masih berkepit dengan mak mentua saya. Bukan tiada yang mahu, tetapi dia belum bersedia untuk berkahwin. Sampai pernah ada yang merisiknya untuk dijadikan menantu. Tetapi adik ipar lelaki aku ini menolak.
“Alasannya mahu menggembara atau berjalan-jalan dahulu. Mungkin tak ada alasan lain nak bagi. Rumah kereta semua sudah ada. Kerjaya juga bagus. Cuma saya rasa mungkin ini masa untuk dia balas jasa mak ayah mentua dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
“Baik, ini cuma pengenalan awal. Bukan masalah sebenar. Saya mulanya tidak tahu hujung pangkal cerita. Tiba-tiba suami tunjuk gambar calon isteri buat adik lelakinya kepada saya. Terkejut saya, tak tahu nak respon apa pada mulanya. Masa itu, saya tak tahu pun mak mentua minta suami yang carikan.
“Suami minta saya tengok gambar dalam FB (Facebook). Cantik. Senyum manis, gigi juga tersusun. Suami saya ini cikgu. Bakal biras juga seorang guru dari sekolah yang sama. Guru baru, muda lagi daripada kami. Saya namakan dia, Cikgu P. Suami beritahu dia hantar pesanan Whatsapp secara peribadi kepada Cikgu P.
“Suami terus tanya persetujuan untuk dikenenkan dengan adik lelakinya selepas tahu Cikgu P baru lepas putus dengan bekas tunangnya. Bekas tunangnya pula berkahwin dengan pilihan keluarga. Nampak klise, tetapi ini betul ya kawan-kawan. Ini adalah khabar angin yang didengar oleh cikgu-cikgu lain di sekolahnya.
“Sejauh mana kebenarannya, saya juga tak tahu kerana tidak bekeria di situ. Berbalik kepada kepada Whatsapp, Cikgu P mengatakan bahawa dirinya belum bersedia nak berkenalan dengan mana-mana lelaki buat masa sekarang. Suami masih respon lagi. Katanya, jangan patah hati lama-lama.
“Saya baca semua perbualan itu dan dapat merumuskan yang Cikgu P tak berminat. Sebabnya, pesanan terakhir daripada suami tidak berbalas. Tetapi, suami mengatakan bahawa Cikgu P ini seorang gadis yang pemalu di sekolah. Dia sangat susah untuk bercakap dengan mana-mana cikgu lelaki.
“Masa di awal kemasukan di sekolah dahulu, memang Cikgu P elak bekerja dengan cikgu lelaki. Mungkin atas sebab inilah, pesanan suami tidak direspon. Suami tunjuk gambar Cikgu P pada keluarganya kecuali adik lelakinya. Sebabnya, belum dapat kata putus dari Cikgu P sama ada setuju atau tidak
“Saya tengok reaksi mak mentua, biasa-biasa sahaja. Dia tak kisah dengan pilihan suami. Kalau ada jodoh, adalah. Kalau tiada, nak buat macam mana. Suami beritahu selepas kejadian Whatsapp itu, Cikgu P akan mengelak daripadanya bila berjumpa di sekolah. Dari jauh lagi dia sudah lari daripada suami.
“Nak dijadikan cerita, satu hari itu adalah Cikgu lain buat perkongsian di Instastory untuk kenenkan kawan-kawan bujangnya bagi dijadikan calon isteri. Saya namakan, Cikgu M. Ada dalam tiga orang cikgu bujang dalam video pendek itu. Dalam tiga-tiga calon itu, memang cikgu P yang paling cantik di mata saya.
“Patutlah suami beria mahukan dia. Boleh pula suami respon Instastory itu supaya kenenkan Cikgu P dengan adik dia. Suami cerita pada Cikgu M yang pesanannya kepada Cikgu P di Whatsapp dahulu tidak direspon. Cikgu M kata, memanglah sebab kawan itu pemalu orangnya. Saya baca semuanya.
“Perbualan suami dengan Cikgu M itu tak ditunjukkannya kepada saya. Sebenarnya, saya yang curi tengok sebab tak sedap hati. Cikgu M kata nanti dia cuba slow talk dengan Cikgu P pasal suami merisik. Ini selepas suami beri semua butiran mengenai adik lelakinya. Iyalah, takkan dikenen kepada sebarangan orang..
“Mestilah Cikgu P mahu yang terbaik sebagai bakal suami. Ceritanya di sini, saya sebenarnya cemburu. Tak tahulah, rasa mencucuk-cucuk di dada. Wajarkah saya cemburu, pembaca sekalian? Saya pun tak tahu patut ke tidak. Saya ada cakap pada suami, ‘awak cari ini untuk adikkan bukan untuk awak?’.
“Sengaja nak tengok air muka suami sahaja, apa reaksi dia nak tunjuk. Suami respon, ‘Cikgu P itu budak lagi awak’. Setiap kali berbual, kalau keluar cerita pasal Cikgu P mesti saya rasa sakit sangat di dada. Seolah-olah pilihan itu dari suami, bukan adiknya sendiri. Kadang-kadang rasa nak salahkan mak mentua saya.
“Iyalah, kenapalah tak suruh orang lain carikan. Rasanya, lagi sesuai kalau suruh perempuan yang pilih perempuan. Ini apabila mak mentua suruh suami, rasa macam dia tengah buat pilihan kedua selepas saya untuk berkahwin. Jika suami dapat pilihan untuk berkahwin seorang lagi, maka orang macam Cikgu P pilihan nya.
“Adakah saya sebenarnya yang overthinking? Sedihnya. Saya cuba abaikan kerana malas nak ambil tahu. Tetapi entahlah, perasaan membuak-buat ingin tahu tentang perkembangan perjodohan itu lebih kuat daripada buat ‘dek’ sahaja. Saya berdoa sangat semoga mereka tidak berjodoh.
“Sebab saya lebih suka kalau bakal biras datang daripada orang yang tidak dikenali. Saya dan suami tak kenal, memang orang luar betul. Cuba bayangkan kalau suami dan bakal biras saya daripada sekolah yang sama. Balik kampung nanti mesti cerita pasal sekolah tak sudah. Agaknya lah.
“Tolong doakan adik ipar saya agar bertemu jodoh cepat. Tetapi bukan dengan Cikgu P, tolonglah haha. Sekian, terima kasih kerana luangkan masa baca luahan hati saya. Jangan kecam ya hati tak kuat.” Kongsi Maya (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.