Bapa dedah punca penerjun pingat emas Sukma Sarawak dinamakan Elvis Priestley

Oleh MALAYSIADATELINE

Atlet Sarawak, Elvis Priestly Clement mula mencuri perhatian ramai selepas rakaman terjunannya dalam acara 3 meter (m) papan anjal lelaki di Sukan Malaysia (Sukma) 2024, tular di media sosial.

Tidak hanya berjaya meraih pingat emas, pengguna media sosial turut menyamakan terjunan atlet berusia 18 tahun itu dengan penerjun handalan daripada China ekoran percikan yang terhasil sangat minimum.

Nama atlet berkenaan yang hampir sama dengan penyanyi legenda Amerika Syarikat (AS) iaitu mendiang Elvis Presley turut menimbulkan persoalan dan menjadi topik perbincangan di kalangan netizen.

Misteri akhirnya terjawab selepas bapanya, Clement Merom mendedahkan bahawa nama penerjun pelapis skuad kebangsaan terbabit diberikan atas cadangan seorang rakan, lapor Harian Metro.

“Datuknya menamakan kakaknya, Madonna. Jadi selepas anak saya dilahirkan, seorang rakan mendesak supaya saya menamakan dia sempena legenda rock and roll itu.

“Tetapi saya mengubah ejaan Presley kepada Priestley. Kerana jika saya menggunakan ejaan asal, dia mungkin menjadi seorang penyanyi dan bukannya penerjun,” jelas bapa berusia 43 tahun dalam nada seloroh memetik laporan Harian Metro.

Clement yang merupakan anggota tentera itu turut memaklumkan, walaupun Elvis dahulu adalah seorang kanak-kanak yang pendiam namun dia sentiasa aktif dan menyukai air.

Terutamanya jika berada di kawasan berhampiran dengan air, tidak kira sungai atau kolam renang, atlet berkenaan tidak akan melepaskan peluangnya untuk bermandi-manda.

“Ketika sedang menjalani latihan renang dengan anggota tentera yang lain dan saya membawanya bersama, dia sangat menyukai berenang di kolam.

“Suatu hari ketika darjah satu, Majlis Sukan Sarawak datang ke sekolahnya untuk memilih atlet. Dia pulang dan memberitahu bahawa kami perlu menghantarnya ke kolam renang dan menyerahkan surat kepada saya.

“Saya tidak membaca surat itu dan hanya menandatanganinya. Hanya apabila kami sampai ke kolam renang, saya sedar bahawa surat itu adalah untuk acara terjun,” katanya lagi.

Clement mengakui meskipun dedikasi Elvis dalam latihan jelas terlihat, namun sebagai seorang ayah dirinya tetap sedih dengan rutin sukar yang perlu dilalui oleh anaknya.

“Rutin latihan terjun tidak sama seperti bola sepak atau ragbi. Saya tahu kerana pernah bermain kedua-dua sukan itu. Latihan terjun yang dia lalui begitu ketat sehingga saya kadang-kadang menangis melihatnya.

“Jurulatihnya akan memukul kepala atau bahunya jika dia melakukan kesilapan. Saya tidak ada masalah dengan itu kerana ia untuk peningkatan dirinya sendiri. Saya juga tidak melihatnya sebagai penyalahgunaan.

“Kerana saya seorang askar dan saya tahu saya perlu menjaga psikologi dia dan diri sendiri,” katanya yang mengakui jarang berjumpa dengan Elvis sejak atlet berkenaan mengikuti latihan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sang bapa menyifatkan keadaan itu sebagai pengorbanan terbesar yang terpaksa dihadapinya bersama isteri sejak Elvis menjadi sebahagian daripada peserta program pembangunan di Bukit Jalil.

“Kami jarang dapat melihatnya. Dalam setahun, dia hanya akan pulang sekali atau dua kali sahaja. Dia hanya akan berada di sini selama dua atau tiga hari dan akan kembali ke Kuala Lumpur selepas itu. Saya terpaksa menerima hakikat bahawa orang lain membesarkan anak.

“Sudah tentu dia dibesarkan oleh saya dari darjah satu hingga enam. Tetapi selepas itu, dia berada di Kuala Lumpur. Sebelum dia ke Kuala Lumpur, saya terpaksa menghantarnya ke latihan setiap hari. Dia pernah berlatih dekat dengan kem tentera tempat saya bertugas.

“Tetapi selepas itu dia mula berlatih di sini (Pusat Akuatik Pandelela). Ia adalah perjalanan selama 45 minit setiap hari untuk menghantarnya dan saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai atasan yang memberi kelonggaran menghantar anak ke latihan.” Ujarnya.

Terdahulu, Elvis Priestly memberikan persembahan yang menakjubkan untuk meraih dua pingat emas dan satu perak di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Sarawak sempena temasya sukan SUKMA 2024.

Baca juga: Selama ini mampu bagi dompet sahaja, Wooi Yik nekad hadiahkan SUV Chery lebih RM100k kepada bapa