“Kami dituduh tak ikhtiar dapatkan anak, sampai aku gugur pun mentua buat tak kisah”

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati wanita manakah yang tidak terluka apabila layanan daripada keluarga mentua berubah sekelip mata hanya kerana gagal memberikan mereka cucu.

Lebih memburukkan keadaan, keluarga mentua kepada wanita dikenali sebagai Bunga itu turut menuduhnya dan suami sengaja tidak berikhtiar untuk mendapatkan zuriat.

Berikut perkongsian Bunga yang sangat kecewa dengan sikap mentuanya namun tetap berharap agar hubungan mereka tidak akan kekal dingin seperti itu selama-lamanya.

“Salam semua. Aku gelarkan diri sebagai Bunga. Usia 30-an, sudah berumah tangga selama tiga tahun tetapi masih belum dikurniakan anak. Kehidupan kami suami isteri, baik-baik sahaja. Tinggal di ibu kota, memiliki kereta, rumah dan sebagainya. Syukur Alhamdulillah, dengan keluarga mertua juga baik-baik sahaja.

“Sampailah abang ipar berkahwin dan aku dapatlah biras. Mereka baru dikurniakan anak tahun ini. Tidak mengapalah, rezeki mereka. Tetapi yang tak sedapnya apabila keluarga saudara-mara sebelah suami, mula nak bandingkan kami. Kami dituduh tak berikhtiar untuk mendapatkan zuriat dan lebih suka melancong.

“Kalaulah mereka tahu, aku dan suami sudah sehabis mungkin berusaha. Sampaikan aku siap buat rawatan kesuburan in-vitro (IVF). Tetapi hanya bertahan enam minggu sebelum gugur. Masih belum ada rezeki. Tak akanlah semua perkara kena cerita dan canangkan dekat orang? Aku juga rasa bapa mentua mula pilih kasih.

“Selepas abang ipar memiliki anak, bermulalah tragedi yang sedih untuk aku hadap. Bayangkan ketika aku tumpah darah akibat keguguran, bapa mentua langsung tak bertanya khabar apatah lagi telefon atau menghantar pesanan di aplikasi Whatsapp sekalipun. Tetapi berbeza dengan biras aku yang tumpah darah sedikit.

“Biras aku tak gugur ya, tetapi bapa mentua terus pecut pergi ke rumahnya yang nun jauh beratus-ratus kilometer. Pedih hati aku rasa ketika itu. Rumah kami yang selang satu negeri ini dia tak nak tengok, tetapi rumah biras aku yang jauh itu sanggup pula pergi. Mula-mula, aku rasa semua itu hanya perasaan sendiri sahaja.

“Tetapi lama-kelamaan, nampak terlalu jelas sampaikan suami aku juga sudah mula perasan. Pada awalnya, cuba fikir positif yang mungkin keluarga mentua tiada masa terluang untuk melawat aku ketika keguguran. Tetapi tak akanlah telefon atau hantar mesej langsung tak boleh? Banyak lagilah perrkara aku kena hadap.

“Termasuklah diperli oleh saudara mara suami disebabkan tiada anak. Dengan bapa mentua gemar berbelanja untuk keluarga biras, tetapi keluarga aku tak dapat apa-apa langsung. Sedih weh dilayan macam ini. Keluarga biras aku bukan orang susah. Kalau susah itu aku fahamlah. Hal ini menyebabkan aku makin tawar hati.

“Banyak lagilah perkara yang berlaku. Kadang-kadang, aku rasa macam keluar dari kumpulan sembang keluarga mentua di Whatsapp. Sebab hampir setiap hari mereka berborak mengenai anak abang ipar aku sahaja. Suami juga sudah mula nampaklah yang bapa dia ‘bias’ atau pilih kasih dalam layanan terhadap menantu.

“Jadi untuk masa sekarang, suami sendiri akan buat keputusan perlu atau tak untuk kami pergi sesuatu majlis keluarga mentua. Tambahan pula biras aku juga jenis yang menunjuk depan orang, dia terpaling ada anak. Aku disisihkan. Lagilah suami terasa. Jadi kami banyak kalilah tak pergi ke majlis-majlis keluarga mentua.

“Ini semua demi nak menjaga hati dan perasaan kami. Aku sedih, sebab tak suka jadi macam ini. Aku selalu cuba yang terbaik untuk keluarga mentua. Setiap kali hari jadi mereka, aku selalu hadiahkan barangan yang mahal-mahal. Sebab bagiku, tak salah untuk berbelanja untuk mereka. Namun aku sedih dilayan macam ini.

“Malah keluarga aku juga terbabit. Mereka dilayan oleh mentua macam nak tak nak sahaja. Sedangkan keluarga biras ditatang. Aku tak pernah ceritalah perihal keluarga mentua dekat keluarga sendiri sebab tak mahu mereka terasa hari. Apa yang patut aku buat? Adakah betul tindakan suami berhubung majlis keluarga mentua?

“Aku buntu sangat. Sebab semua perkara ini bukannya yang aku inginkan. Maafkan seandainya coretan ini berbelit-belit sebab aku sendiri keliru dan tak tahu nak luah kepada siapa.” Kongsi Bunga (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Aku penat jaga anak dekat rumah, suami sedap bermaksiat, kantoi sebab aku baca semua mesej”